Image
Image
  • Pengurusan
  • 1. Pesakit telah discharge tetapi Pakar Perubatan telah menjadualkan rawatan susulan di rumah. Perlukah dikenakan caj untuk rawatan susulan tersebut?

    Kemudahan rawatan percuma untuk Warganegara sahaja. Sila rujuk Surat Pekeliling Bahagian Kewangan Bil.1 Tahun 2013: Pengecualian Bayaran Caj Perkhidmatan Perubatan Dan Kesihatan Di Luar Hospital/Fasiliti KKM. Walau bagaimanapun jika pesakit yang meminta pihak klinik/hospital untuk datang ke rumah tanpa dijadualkan oleh Doktor/Pakar, caj perlu dikenakan.

  • 2. Pengecualian fi pendaftaran pesakit luar dan potongan separuh harga bil rawatan pesakit dalam bagi warga emas (umur 60 dan ke atas).

    Hanya terpakai bagi Warganegara dan penduduk tetap sahaja.

  • 3. Adakah pesakit Warganegara Asing yang berumur 60 tahun ke atas yang dirujuk daripada klinik swasta ke klinik pakar kerajaan dikecualikan daripada bayaran?

    Pesakit Warganegara Asing berumur 60 tahun ke atas yang dirujuk daripada klinik swasta ke klinik pakar perlu dikenakan caj mengikut Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014.

  • 4. Terdapat Warganegara Asing yang ingin menggunakan surat repot dari polis (POL-57) bagi mendapatkan rawatan percuma di hospital kerajaan apabila dimasukan ke Wad akibat dirompak, dipukul dan mengamuk bagi kes (PSY). Adakah mereka layak mendapat rawatan percuma?

    Surat repot polis (POL-57) tidak boleh diguna pakai sebagai dokumen sokongan dari dikecualikan daripada bayaran caj rawatan hospital. Hanya pesakit yang dibawah tahanan polis (Di bawah kawalan pihak penguatkuasa) sahaja yang diremitkan daripada semua bayaran hospital.

  • 5. Pesakit Warganegara Asing berkahwin dengan Warganegara hanya membawa Pasport & Sijil Nikah sahaja tanpa membawa kad pengenalan pasangan Warganegara semasa datang mendapatkan rawatan. Berapakah kadar caj yang dikenakan?

    Pesakit akan dikenakan caj atas kadar Warganegara Asing.

  • 6. Jika kanak-kanak bawah 12 tahun, lahir di Malaysia, ada Sijil Kelahiran Malaysia, salah seorang ibu/bapa adalah Warganegara atau Penduduk Tetap.

    Kanak-kanak tersebut akan dikenakan caj mengikut Perintah Fi (Perubatan) 1982 – Caj warganegara.

  • 7. Perkhidmatan Home Visit Antenatal dan Postnatal Warganegara Asing.

    Pesakit Warganegara Asing perlu dikenakan caj bagi setiap kali lawatan Home Visit bagi perkhidmatan antenatal dan postnatal.

  • 8. Bilakah bayaran bagi perkhidmatan Home Visit dibuat?

    Bayaran dibuat semasa rawatan diberikan dan pegawai yang terlibat dalam Home Visit perlu mengemukakan resit KEW.38 atau kupon apabila menerima bayaran daripada pesakit.

    Pegawai-pegawai yang terlibat dalam kutipan hasil perlulah diberi surat kuasa mengutip oleh Ketua Jabatan.

  • 9. Adakah pemeriksaan saringan HIV bagi bakal pengantin perlu dikenakan caj?

    Pengecualian caj pemeriksaan kesihatan HIV adalah diperuntukan kepada semua bakal pengantin bagi warganegara sahaja dari tempoh 1 Januari  2009 sehingga Tahun 2020 sahaja. Walaupun caj pendaftaran RM1 perlu dikenakan.

    Rujukan Bil.: (81)KKM.400-8/1/89 Jld.7 bertarikh 7 Januari 2019 dan emel dari Bahagian Kewangan, KKM bertarikh 7 Mac 2019.

  • 10. Adakah pengecualian caj rawatan harian daycare dipanjangkan kepada pesakit warganegara yang berumur 60 tahun ke atas.

    Pengecualian kepada warganegara yang berumur 60 tahun ke atas hanyalah bagi caj pendaftaran pesakit luar dan pengecualian 50% bagi perkhidmatan di wad kelas tiga sahaja.  Pengecualian tersebut tidak terpakai kepada rawatan daycare.

    Rujukan : Surat Pekeliling Bahagian Kewangan, KKM Bil.2 Tahun 2012

  • Perubatan
  • 1. Apakah yang dimaksudkan dengan bedah siasat?

    Bedah siasat bermaksud suatu pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan ke atas mayat. Pemeriksaan ini melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman. Sampel tisu, darah dan cecair badan lain mungkin akan diambil untuk ujian makmal. Prosedur bedah siasat dan ujian makmal dijalankan untuk mengenalpasti punca kematian serta cara kematian atau bagaimana perubahan dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kimia, radiasi, kemalangan, kecederaan dan lain-lain (Garispanduan Bedah Siasat Mayat di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, 2008). Perkataan lain yang lazim digunakan yang membawa maksud yang sama dengan bedah siasat adalah seperti autopsi, ‘post-mortem’ dan ‘necropsy’.

  • 2. Apakah jenis kategori bedah siasat?

    Terdapat 2 kategori bedah siasat:

    1. Bedah siasat Medikolegal
    2. Bedah siasat Klinikal
  • 3. Apakah bedah siasat medikolegal?

    • Bedah siasat Medikolegal merupakan bedah siasat yang dijalankan berdasarkan Kanun Prosedur Jenayah. Arahan bagi bedah siasat dikeluarkan oleh pihak polis/magistret/peguam pendakwaraya/hakim melalui permohonan Borang Permintaan Bedah Siasat (Polis 61) bagi kes-kes yang melibatkan siasatan pihak polis.
    • Kes – kes yang sering melibatkan bedah siasat medikolegal boleh di kategorikan kepada kematian yang disebabkan kemalangan, bunuh diri, dibunuh, kematian yang mengejut dan kematian yang meragukan, seperti yang terkandung dalam Kanun Prosedur Jenayah.
  • 4. Apakah bedah siasat klinikal?

    • Bedah siasat klinikal adalah untuk mengkaji dan mengenalpasti sebab utama yang membawa kepada kematian seseorang individu di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, setelah rawatan sewajarnya yang telah diberikan gagal untuk memulihkan atau menyelamatkan individu tersebut.
    • Bedah siasat klinikal biasanya tidak melibatkan kes-kes dibawah siasatan polis.
    • Pemeriksaan bedah siasat klinikal hanya boleh dilaksanakan sekiranya waris atau ahli keluarga terdekat memberi kebenaran bertulis untuk berbuat demikian. Pihak waris perlu menandatangani borang khas untuk memberi kebenaran kepada pihak hospital untuk menjalankan bedah siasat setelah menerima penjelasan daripada doktor atau pakar yang merawat pesakit tersebut.
  • 5. Apakah keperluan pemeriksaan bedah siasat?

    • Pemeriksaan bedah siasat mempunyai keperluan dan kepentingannya. Diantaranya adalah:
      • Untuk memenuhi keperluan undang-undang.
      • Untuk mengesahkan identiti si mati.
      • Untuk mengenalpasti sebab kematian.
      • Untuk mengetahui punca, cara dan masa kematian.
      • Untuk menghilangkan keraguan mengenai sebab kematian.
      • Untuk menunjukkan penyakit dan kecacatan.
      • Untuk mengesan, menggambar dan mendokumentasikan penyakit dan kecederaan luar serta dalaman jasad.
      • Mendapatkan sampel untuk dikaji seperti kajian kuman, tisu badan yang disyaki berpenyakit dan lain-lain.
      • Untuk mengambil gambar dan rakaman video bagi tujuan bukti/barang kes di mahkamah.
      • Untuk pengajian akedemik, menjalankan kajian dan penyelidikan dalam bidang perubatan.
      • Untuk meningkatkan kepakaran.
      • Untuk membuat kajian rawatan sesuatu penyakit, pengauditan teknik pembedahan baru serta kompetensi doktor yang merawat.
      • Untuk menyediakan laporan bertulis yang lengkap tentang penemuan dalam pemeriksaan mayat.
      • Untuk memulih semula keadaan mayat yang cedera teruk sebaik mungkin sebelum diserahkan kepada waris.
  • 6. Apakah prosedur bagi kes kematian yang melibatkan siasatan pihak polis?

    • Jika terdapat kes kematian yang melibatkan siasatan pihak polis, permohonan pemeriksaan mayat (Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat, Polis 61 Pindaan 4/86) akan dikeluarkan oleh  pihak Polis (berpangkat sarjan dan ke atas) kepada Pegawai Perubatan kerajaaan yang berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dan bertugas di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia, untuk melakukan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan mereka.
  • 7. Adakah pemeriksaan bedah siasat boleh dibatalkan sekiranya borang permintaan pemeriksaan mayat polis-61 telah dikeluarkan oleh pihak berwajib?

    • Permohonan bedah siasat hanya akan dikeluarkan sekiranya terdapat keperluan munasabah pada hemat seseorang pegawai polis atau majistret yang menjalankan siasatan terhadap kematian tersebut selaras dengan peruntukkan undang-undang Malaysia.
    • Jika pihak waris membuat keputusan menolak pemeriksaan bedah siasat dilakukan atas dasar menghormati atau mematuhi kehendak atau kepercayaan agama, maka mereka boleh berbuat demikian dengan merujuk kepada Pegawai Penyiasat Polis dan membuat permohonan untuk membatalkan pemeriksaan bedah siasat tersebut. Kebiasaannya kes kematian yang berkaitan dengan kemalangan dan jenayah tidak boleh dikecualikan (Portal MyHEALTH [Bedah Siasat : Mediko Legal vs Klinikal]).
  • 8. Apakah sudut pandangan hukum Islam mengenai bedah siasat?

    • Dari sudut pandangan hukum Islam, bedah siasat adalah haram, tetapi dibolehkan jika memenuhi syarat yang telah digariskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi terbitan berjudul Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Menurut Perspektif Islam.
    • Terdapat dua fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1989 dan 2004 (JAKIM, 2005):-

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 (24-25 September 1984):

    “Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup”.

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-61 (27 Januari 2004):

    “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan”.

  • 9. Adakah waris boleh melihat pemeriksaan bedah siasat?

    Sewaktu bedah siasat dijalankan, hanya Pakar Perubatan Forensik dibantu oleh Pegawai Perubatan dan kakitangan Perubatan Forensik bersama pihak Polis (bagi bedah siasat medikolegal) boleh berada dalam ruang bedah siasat .Waris tidak dibenarkan untuk melihat atau menyertai pemeriksaan bedah siasat.

  • 10. Rujukan:

    1. Portal MyHEALTH (Bedah Siasat : Mediko Legal vs Klinikal) : http://www.myhealth.gov.my/bedah-siasat-mediko-legal-vs-klinikal
    2. MOH 2008: Garis Paduan Bedah Siasat Mayat Di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia
    3. JAKIM 2005 : Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Menurut Perspektif Islam
  • Kesihatan Awam
  • 1. Saya telah menerima Notis Kesalahan Di Bawah Seksyen 32B kerana merokok di kawasan larangan, di mana saya boleh membuat bayaran?

    Anda boleh membuat bayaran di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah terdekat dengan anda. Sebagai contoh jika anda tinggal di Bandar Donggongon, bayaran boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang.

  • 2. Apakah tanda-tanda demam denggi?

    1. Demam kuat secara mengejut dan berterusan
    2. Ruam merah pada kulit
    3. Sakit teruk pada tulang, otot, sendi, biji mata dan kepala
    4. Hilang selera makan
    5. Muntah-muntah
    6. Sakit perut
    7. Pendarahan pada badan, hidung dan mulut
  • 3. Saringan suhu badan ke atas pengembara (penerbangan antarabangsa)

    1. Tindakan proaktif mengesan pengembara yang demam menggunakan alat pengesan suhu (thermal scanner) sebelum memasuki Malaysia.
    2. Pengembara yang didapati mempunyai suhu badan yang tinggi (melebihi 37.5 C') daripada alat pengesan suhu (thermal scanner) akan dirujuk ke Pusat Kuarantin Kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.
  • 4. Pengawasan kemasukan pengembara yang tiba dari / melalui negara endemik Demam Kuning

    1. Menjalankan pemeriksaan sijil vaksinasi ke atas pengembara yang tiba dari / melalui negara endemik (penumpang biasa dan penumpang bertaraf VVIP).
    2. Makluman kepada penganjur acara antarabangsa / individu mengenai penyakit Demam Kuning dan keperluan vaksinasi Demam Kuning.
    3. Menjalankan pemeriksaan rawak di ‘autogate’ (Warganegara Malaysia) di  KLIA dan KLIA 2.
    4. Mengedarkan risalah / Demam Kuning kepada agensi kerajaan dan swasta / warga kerja KLIA.
    5. Taklimat berkaitan penyakit Demam Kuning kepada anggota Imigresen yang baru bertugas di KLIA.
  • 5. Pengurusan / pengendalian notifikasi kes penyakit berjangkit

    1. Menguruskan notifikasi yang diterima daripada klinik swasta dan agensi berkaitan di lapangan terbang KLIA.
    2. Menjalankan aktiviti siasatan dan langkah-langkah pencegahan / kawalan sekiranya berlaku kejadian kes disyaki / disahkan penyakit berjangkit, dan wabak.
  • 6. Pengurusan / pengendalian kes kematian disyaki penyakit berjangkit

    1. Menjalankan aktiviti siasatan kes kematian disyaki penyakit berjangkit dan langkah-langkah pencegahan / kawalan
  • 7. Pengimpotan dan pengekspotan mayat, tisu manusia, dan organisma*

    1. Menerima dan menyemak semua permohonan pengimportan dan pengeksportan mayat, tisu manusia, dan organisma.
    2. Mengeluarkan permit pengimpotan dan pengekspotan mayat, tisu manusia, dan organisma (jika semua keperluan dipatuhi).
    3. Pemeriksaan konsaimen.
  • 8. Kelulusan (pengeluaran permit)

    Di peringkat pintu masuk hanya diberikan kelulusan (pengeluaran permit) bagi organisma kumpulan 1 dan 2 sahaja. Permohonan dan kelulusan organisma Kumpulan 3 dan 4 adalah diperingkat Kementerian Kesihatan Malaysia (Ketua Pengarah Kesihatan)

     Pemeriksaan Kebersihan pesawat antarabangsa

    1. Menjalankan pemeriksaan kebersihan pesawat antarabangsa yang tiba di KLIA secara rawak.
    2. Memeriksa ‘General Declaration’ (GD) dan bukti disinsektasi yang dibuat di dalam pesawat.

    Pemantauan Aktiviti Disinsektasi Ke Atas Semua Penerbangan Antarabangsa

    1. Semua pesawat yang tiba di KLIA perlu menjalankan aktiviti disinsektasi dalam pesawat sebelum pesawat mendarat.
    2. Bukti disinsektasi samada Spray Can atau Sijil Residual Spray perlu diletakkan di dalam tong yang disediakan oleh Pejabat Kesihatan KLIA sebagai pembuktian menjalankan disinsektasi dalam pesawat.
  • Pergigian
  • 1. Apakah penyebab karies gigi?

    Karies gigi dipengaruhi oleh berapa kerap gula diambil bukan pada jumlah amaun gula  yang diambil. Bakteria yang hadir di dalam mulut menukarkan gula dan kanji di dalam makanan kepada asid yang menyebabkan karies gigi.

  • 2. Apa yang boleh saya lakukan untuk mencegah karies gigi?

    Kawal pengambilan gula

    Makanan bergula  secara idealnya hanya perlu dimakan bersama  hidangan utama, jika ia diambil sebagai snek ia meningkatkan masa asid terdedah di dalam mulut. Di samping itu, kadar aliran air liur adalah lebih tinggi pada waktu hidangan utama. Air liur membantu dalam membersihkan gula di dalam  mulut kerana ia dapat mengurangkan penghasilan asid. Sesetengah minuman seperti minuman air berkarbonat atau lemon adalah sangat berasid. Selain adanya karies gigi, ia mungkin melembutkan dan menghakis permukaan gigi (hakisan enamel).
    Kekalkan kebersihan mulut yang baik

    • Berus gigi secara menyeluruh setiap hari dengan ubat gigi berfluorida
    • Floss gigi setiap hari bagi membersihkan celah-celah gigi
    • Dapatkan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya sekali setahun

  • 3. Bilakah sepatutnya saya membawa anak saya berjumpa doktor gigi?

    Masa yang ideal, bagi lawatan pergigian pertama anak anda sepatutnya dilakukan sebelum ulang tahun pertama atau kedua. Selain untuk memeriksa kerosakan gigi dan masalah-masalah lain, doktor gigi akan mengajar anda teknik yang betul untuk membersihkan gigi anak anda serta menilai sekiranya ada tabiat negatif seperti menghisap ibu jari. Anda juga dapat membina tabiat penjagaan gigi yang baik sepanjang hayat.

  • 4. Bagaimana saya boleh memastikan kebersihan mulut yang baik untuk anak saya?

    Sebagai ibu bapa, anda perlu:

    • Mewujudkan rutin pembersihan mulut yang baik di peringkat awal usia.

    • Menyelia pemberusan gigi kanak-kanak sehingga berumur enam tahun.

    • Gunakan ubat gigi bersaiz kacang hijau untuk mengelak anak anda menelan secara berlebihan.

    • Bagi membantu anak anda memberus gigi, berdiri di belakang mereka dan condongkan kepala ke atas supaya semua permukaan gigi boleh diberus menggunakan kaedah gosokan yang lembut.

  • 5. Di mana saya boleh mendapatkan maklumat dan latihan untuk mempertingkatkan kesihatan mulut anak saya?

    Sila bertanya lanjut pada doktor gigi anda atau anggota pergigian di mana-mana klinik pergigian kerajaan.

  • 6. Berapa kerap saya perlu memberus gigi?

    •    Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, sebaik-baiknya pagi dan sebelum tidur malam atau selepas makan yang terakhir.

    •    Bersihkan celah-celah gigi sekali sehari dengan menggunakan flos atau alat pencungkil celah gigi yang disyorkan oleh doktor gigi (pencungkil kayu, berus celah gigi dsb).

  • 7. Apakah sumber-sumber lain fluorida untuk kita?

    Pemfluoridaan Air

    Pemfluoridaan air melibatkan penyelarasan paras fluorida semulajadi dalam bekalan air komuniti ke paras yang optima untuk kesihatan pergigian.
    Semenjak tahun 1972, Kerajaan Malaysia telah meluluskan pemfluoridaan bekalan air awam sebagai satu program utama pencegahan karies gigi. 
    Sekitar 75.5% populasi Malaysia telah mendapat manafaat melalui kaedah kesihatan awam ini.

    Pemfluoridaan bekalan air komuniti adalah kaedah yang paling selamat dan kos efektif mengurangkan kerosakan gigi.

    Penyertaaan aktif dari individu atau komuniti tidak diperlukan – hanya menggunakan air paip untuk diminum dan dimasak.

    Fluorida disampaikan kepada setiap orang di dalam komuniti yang menggunakan bekalan air awam, termasuk individu yang amat memerlukannya. Ia membermanafaat kepada kanak-kanak dan orang dewasa.

    Ia membekalkan fluorida dalam mulut pada kepekatan yang rendah dan secara berterusan. Ini adalah penting untuk mencegah dan mengawal karies gigi.

  • 8. Apakah rawatan yang diberikan semasa pemeriksaan ini?

    •    Pemeriksaan gigi rutin
    •    Penyapuan sealan fisur sekiranya perlu
    •    Panyapuan fluorida topical sekiranya perlu
    •    Arahan penjagaan kebersihan mulut dan khidmat nasihat

  • 9. Apakah caj rawatan di klinik pergigian kerajaan?

    Kos bergantung kepada jenis rawatan. Kos rawatan pergigian secara ringkasnya adalah seperti di bawah:
    •    Perundingan RM1.00
    •    Setiap tampalan gigi RM1.00
    •    Setiap cabutan gigi RM1.00
    •    Penskaleran RM2.00 setiap lawatan
    •    Rawatan kanal akar RM4.00 
    •    Gigi palsu penuh RM50.00 setiap rahang
    •    Gigi palsu sebahagian RM10.00 untuk plat dan gigi pertama dan tambahan RM2.00 untuk setiap gigi tambahan dengan maksimum RM25.00

    Caj perkhidmatan yang ditawarkan oleh pakar pergigian adalah seperti di bawah:
    Pembedahan kecil minor: RM50.00
    Orotodontik: aplians pakai tanggal RM100.00, aplians tetap RM500.00

  • 10. Bolehkah warga asing mendapatkan rawatan pergigian di klinik pergigian?

    Hanya kes-kes melibatkan rawatan kecemasan dan kadar caj adalah 2 kali ganda daripada biasa.

     

  • Perkhidmatan Farmasi
  • 1. Bagaimana ubat dikategorikan?

    Ubat-ubatan boleh dikategorikan dalam 2 jenis iaitu ubat terkawal dan ubat am.

    Ubat terkawal merupakan ubat yang boleh diperolehi dengan preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat darah tinggi atau ubat kencing manis), manakala ubat am merupakan ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor di kedai farmasi berlesen (sebagai contoh, ubat suplemen kesihatan atau vitamin).

    Maklumat lanjut berkaitan  klasifikasi ubat iaitu sama ada ubat tersebut digolongkan dalam ubat terkawal atau ubat am, boleh dirujuk pada ahli farmasi di hospital, klinik kesihatan atau farmasi komuniti.

  • 2. Bagaimana untuk mengenalpasti sesuatu ubat itu adalah ubat yang berdaftar dengan KKM?

    Semua produk ubat-ubatan di Malaysia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum dipasarkan kepada pengguna termasuklah produk-produk yang dibuat di luar negara. Ubat berdaftar dijamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Produk yang berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL (contoh MAL20125467T) dan label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Sekiranya sesuatu produk ubat tidak mempunyai  kedua-dua ciri ini, produk tersebut dikhuatiri tidak berdaftar dengan KKM. 

    Semua ubat berdaftar mesti mempamerkan nombor pendaftarannya pada label atau pembungkusannya. Nombor pendaftaran dimulakan dengan huruf ‘MAL’ diikuti dengan 8 digit nombor dan diakhiri dengan huruf-huruf yang menunjukkan kategori pendaftaran produk tersebut iaitu :

    Kategori pendaftaran produk:

    A – Ubat mengandungi racun terkawal
    X – Ubat yang tidak mengandungi racun terkawal /OTC
    T – Ubat tradisional
    N – Suplemen kesihatan

    Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk memenuhi keperluan Harmonisasi ASEAN.

    Anda juga boleh menyemak kesahihan status nombor pendaftaran atau maklumat berkaitan produk tersebut di laman http://www.pharmacy.gov.my.

  • 3. Bagaimanakah cara yang mudah untuk pesakit mengambil ubat susulan di fasiliti farmasi?

    Bahagian Perkhidmatan Farmasi menawarkan pelbagai perkhidmatan tambah nilai bagi memudahkan pesakit mengambil ubat susulan di fasiliti farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Antara perkhidmatan tambah nilai yang diperkenalkan adalah:

    1. Sistem Temujanji
    2. Farmasi Pandu Lalu
    3. Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP)
    4. SMS dan Ambil
    5. Telefon dan Ambil
    6. Emel dan Ambil
    7. WhatsApp dan Ambil
    8. Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS)

    Walau bagaimanapun, bukan semua fasiliti farmasi ada menawarkan perkhidmatan ini. Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung dengan fasiliti farmasi yang terdekat.

  • 4. Siapakah Duta Kenali Ubat Anda?

    Duta adalah wakil masyarakat yang dilantik sebagai pemudah cara antara KKM dan masyarakat setempat bagi mendidik pengguna cara penggunaan ubat yang betul dengan mengamalkan konsep 5B. Konsep 5B yang dimaksudkan adalah:

    1. Pengguna ubat yang betul
    2. Ubat yang betul
    3. Dos yang betul
    4. Cara pengambilan yang betul
    5. Masa yang betul
  • 5. Dimanakah permohonan lesen racun boleh dibuat?

    Permohonan Lesen Racun Jenis A/ B/ E dan Permit Sodium Hidroksida (NaOH)

    Mulai 1 Januari 2017, semua permohonan lesen racun jenis A/ B/ E dan Permit Sodium Hidroksida (NaOH) mestilah dipohon melalui sistem My.Pharma-C. Ini termasuklah permohonan baru, permohonan pembaharuan, permohonan pindaan dan permohonan pembatalan lesen/permit. Permohonan yang dihantar secara manual tidak akan diproses. Pembayaran lesen/permit juga adalah melalui perbankan internet yang dibuat secara terus melalui sistem My.Pharma-C. Pembayaran secara manual seperti wang pos, bank draf dan cek tidak lagi diterima. Sila layari www.mypharma-c.pharmacy.gov.my/ untuk akses kepada sistem My.Pharma-C.

  • 6. Bolehkah sesuatu produk yang tidak berdaftar diimport masuk ke Malaysia?

    Mengimport produk-produk yang tidak berdaftar dengan PBKD merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984. Walau bagaimanapun, pengecualian khas boleh diberikan untuk tujuan rawatan penyakit yang boleh mengancam nyawa seperti mana diperuntukkan di bawah Peraturan 15(6) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984. Permohonan perlu dikemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi di Petaling Jaya.

  • 7. Apakah prosedur permohonan Lesen Racun Jenis A Tambahan?

  • 8. Adakah iklan mengenai minuman Tongkat Ali dan Kacip Fatimah memerlukan kelulusan daripada LIU?

    Minuman Tongkat Ali dan Kacip Fatimah adalah diklasifikasikan sebagai produk makanan dan dikawal oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Iklan produk makanan tidak memerlukan kelulusan LIU. Iklan produk makanan tidak dibenarkan membuat sebarang tuntutan perubatan, seperti meningkatkan keupayaan seksual, mengurangkan sakit-sakit sendi, menurunkan paras gula dan sebagainya.

  • 9. Adakah LIU membenarkan iklan mengenai produk berkenaan keguguran rambut?

    Sekiranya iklan keguguran rambut melibatkan produk farmaseutikal, iklan tersebut perlu mendapatkan kelulusan LIU. Iklan tersebut tidak dibenarkan mempunyai tuntutan atau pernyataan bahawa:

    • Kebotakan boleh dicegah 
    • Keguguran rambut boleh dihentikan
    • Merangsang dan menggalakkan pertumbuhan rambut
  • 10. Bolehkan produk yang tidak berdaftar diimport masuk ke Malaysia?

    Mengimport produk-produk yang tidak berdaftar dengan PBKD merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984. Walau bagaimanapun, pengecualian khas boleh diberikan untuk tujuan rawatan penyakit yang boleh mengancam nyawa seperti mana diperuntukkan di bawah Peraturan 15(6) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984. Permohonan perlu dikemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi.

  • 11. Adakah produk untuk minuman dan makanan kesihatan bertujuan untuk pelangsingan badan berdaftar dengan KKM?

    Produk minuman adalah dikategorikan sebagai makanan. Oleh yang demikian, produk ini dikawal oleh pihak Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). Produk makanan dan minuman tidak perlu berdaftar dengan KKM.

    Walaubagaimanapun, produk makanan adalah dilarang untuk membuat sebarang tuntutan perubatan. Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan produk tersebut, hubungi BKKM di 03-8885 0797. Secara umumnya, amalan gaya hidup sihat melalui pengambilan diet yang seimbang serta senaman yang bersesuaian merupakan cara yang terbaik bagi menangani masalah berat badan berlebihan.

    Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) melalui Agensi Regulatori Farmaseutikan Kebangsaan (NPRA) hanya berkuasa mengawal pendaftaran produk farmaseutikal dan kosmetik. Ini tidak termasuk produk kesihatan yang dikategorikan sebagai makanan. Secara umumnya, penggunaan sebarang produk makanan atau penjagaan diri lazimnya bergantung pada budi bicara pengguna itu sendiri.

  • 12. Bolehkah pelancong membawa masuk ubat–ubatan ke Malaysia?

  • 13. Apakah maksud ubat terkawal dan ubat am?

    Ubat-ubatan boleh dikategorikan dalam 2 jenis, iaitu Ubat Terkawal dan ubat am. Ubat Terkawal merupakan ubat yang hanya boleh diperolehi dengan preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat darah tinggi atau ubat kencing manis), manakala ubat am merupakan ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat suplemen kesihatan atau vitamin).

    Pengkelasan ini boleh dikenalpasti berpandukan abjad yang digunakan pada hujung nombor pendaftaran ubat.  Abjad A digunakan untuk merujuk kepada ubat terkawal manakala abjad T dan X digunakan bagi ubat am.

  • 14. Adakah KKM membayar balik pembelian ubat yang tidak dibekalkan oleh pihak hospital dan harus dibeli oleh pesakit?

    Terdapat Peraturan Permohonan Bantuan Perbelanjaan Kemudahan Perubatan Melibatkan Ubat. Peraturan ini digunapakai apabila ubat-ubatan tersebut tidak dapat disediakan atau dibekal oleh hospital kerajaan. Berikut disenaraikan prosedur permohonan pembiayaan perbelanjaan melibatkan ubat bagi penjawat awam yang masih bertugas:

    1. Pesakit mendapat rawatan di hospital / klinik kerajaan
    2. Perbelanjaan bagi pembekalan ubat diperaku (prescribed) oleh Pegawai Perubatan kerajaan dan disahkan tidak dapat dibekalkan/disediakan oleh hospital/klinik kerajaan boleh dipertimbangkan dengan syarat ubat tersebut disenaraikan di dalam senarai ubat-ubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)/hospital universiti. Permohonan dikemukakan menggunakan Borang Perubatan 1/09
    3. Permohonan diluluskan oleh Ketua Jabatan di mana pesakit  itu bertugas
    4. Bayaran perbelanjaan adalah ditanggung oleh jabatan di mana pesakit itu bertugas
    5. Pesakit menerima bekalan ubat-ubatan selepas permohonan diluluskan dan pembayaran dibuat oleh jabatan

    Permohonan bagi pembekalan ubat untuk tempoh yang berpanjangan adalah dibenarkan. Namun begitu, kelulusan oleh Ketua Jabatan adalah tertakluk kepada had perbelanjaan bagi pembekalan ubat untuk tempoh tiga bulan sahaja bagi setiap permohonan. Pihak Tuan/Puan disyorkan untuk mengisi Borang Perubatan 1/09 serta mendapatkan kelulusan Ketua Jabatan terlebih dahulu.

  • 15. Bolehkan saya mendapatkan bekalan ubat susulan di mana–mana sahaja selain fasiliti Kesihatan yang saya lakukan temujanji bersama doktor?

    Boleh, Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) membolehkan anda mendapatkan bekalan ubat susulan dari mana-mana fasiliti kesihatan terdekat dengan anda. Namun anda perlu memberitahu anggota farmasi bahawa anda ingin menggunakan perkhidmatan SPUB.

  • 16. Bagaimanakah cara pembuangan ubat yang betul?

    Pembuangan ubat ke dalam sumber air melalui sinki atau tandas boleh menyebabkan kesan pencemaran alam sekitar. Untuk makluman, loji kumbahan tidak berupaya merawat sisa kimia dalam air kumbahan, dan ini boleh menyebabkan pencemaran sistem pengairan. Selain itu, sisa ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia larut air boleh memasuki sistem pengairan dan seterusnya membahayakan hidupan akuatik.Oleh yang demikian, pesakit dinasihatkan agar tidak membuang ubat-ubatan berlebihan atau ubat-ubatan yang telah luput ke dalam sumber air, sebaliknya pesakit disarankan agar memulangkan semula ubat-ubatan tersebut ke hospital atau klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan agar pelupusan ubat boleh dilakukan dengan cara yang betul.

  • Keselamatan dan Kualiti Makanan
  • 1. Berapakah bayaran yang dikenakan untuk mengikuti kursus latihan pengendali makanan?

    Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50 seorang.

  • 2. Dimanakah tempat untuk menjalani kursus latihan pengendali makanan?

    Berikan senarai SLPM yang disediakan. Terangkan bahawa kursus boleh diambil dimana-mana SLPM seperti di dalam senarai yang diberikan.

  • 3. Apa itu Pengikitirafan BeSS?

    BeSS iaitu "Bersih, Selamat dan Sihat" adalah satu pengiktirafan yang diberikan kepada pengusaha premis makanan bagi menggalakkan pengusaha premis makanan menyediakan makanan yang selamat dan sihat kepada pelanggan.

  • 4. Apakah bayaran dan tempoh sah laku Sijil BeSS?

    Pengikitirafan BeSS diberikan secara percuma kepada pengusaha makanan jika ia mematuhi keperluan di bawah pengikitirafan ini.  Sijil BeSS sah laku untuk 3 tahun.

  • 5. Bagaimana saya nak mohon Pengikitirafan BeSS?

    Pemohon boleh memuat turun Borang Pemohonan dan Garispanduan Pengikitirafan "Bersih, Selamat dan Sihat" (BeSS) bagi Pengusaha Premis Makanan di laman berikut :
    http://fsq.moh.gov.my/v5/index.php

  • 6. Apakah itu Skim Pensijilan MeSTI?

    Skim Pensijilan MeSTI atau Makanan Selamat Tanggungjawab Industri merupakan hasil penambahbaikan daripada SK1M bagi memudahkan premis makanan terutamanya Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memenuhi keperluan yang diperuntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

  • 7. Apakah kriteria permohonan Skim Pensijilan MeSTI?

    Pengusaha premis makanan perlu mematuhu syarat-syarat berikut:
     i.  Berdaftar dengan KKM melalui Pendaftaran Premis Makanan
    ii.  Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau surat pengesahan dari mana-mana agensi kerajaan
    iii. Pemohon perlu bersedia untuk memohon pensijilan MeSTI sama ada telah mendapat bimbingan daripada pegawai KKM atau agensi pembimbing (jika perlu).

  • 8. Berapakah bayaran untuk Skim Pensijilan MeSTI?

    Skim ini diberikan secara percuma bagi tujuan pengiktirafan.

  • 9. Berapa lamakah tempoh sah laku bagi Skim Pensijilan MeSTI?

    1) 3 tahun. Pembaharuan pensijilan perlu dibuat dalam tempoh 3 bulan sebelum tamat tarikh sah laku sijil. Atau

    2) Bagi permohonan diluluskan berdasarkan pensijilan HACCP atau GMP, tempoh sah laku pensijilan MeSTI adalah berdasarkan tempoh sah laku sijil tersebut.

  • 10. Berapa lamakah tempoh bimbingan yang diberikan oleh KKM dalam program bimbingan MeSTI?

    6 Bulan.

  • 11. Bagaimanakan permohonan pensijilan MeSTI boleh dibuat?

    1) Laman sesawang FoSIM Domestik (www.fosimdomestics.moh.gov.my). Atau
    2) Muat turun Borang Permohonan, MeSTI-1/12 dari laman sesawang BKKM (http://fsq.moh.gov.my)

  • 12. Bagaimana saya memohon Skim Pensijilan HACCP KKM?

    Anda perlu mendaftarkan premis di bawah FoSIM Domestik dan memohon secara online
    http://fosimdomestic.moh.gov.my/

  • 13. Berapa Bayaran untuk skim pensijilan HACCP?

    Bayaran untuk SKIM Pensijilan HACCP boleh diperolehi dalam Guideline for HACCP Certification. Anda boleh muat turun garispanduan di
    http://fsq.moh.gov.my/v5

  • 14. Apa Kelebihan memperolehi Pensijilan HACCP dari KKM?

    Syarikat yang memperolehi sijil HACCP dari KKM boleh dapat kelebihan untuk mengecualikan pensampelan produk bagi tujuan pengeluaran sijil kesihatan.

  • 15. Bagaimana saya memohon Skim Pensijilan GMP KKM?

    Anda perlu mendaftarkan premis di bawah FoSIM Domestik dan memohon secara online
    http://fosimdomestic.moh.gov.my/

  • 16. Berapakah bayaran untuk skim pensijilan GMP?

    Bayaran untuk SKIM Pensijilan GMP boleh diperolehi dalam Skim Pensijilan GMP.  Anda boleh muat turun garispanduan di
    http://fsq.moh.gov.my/v5

  • 17. Bagaimanakah untuk membuat analisa Tenaga, Karbohidrat, Protein dan Lemak sebagaimana diperlukan oleh Peraturan Makanan 1985 dari segi pelabelan produk?

    Pihak industri termasuk industri kecil dan sederhana boleh menghantar makanan yang mereka jual ke Makmal Swasta.

  • Kejuruteraan
  • 1. Bagaimanakah pihak Syarikat mengawal disiplin kakitangan syarikat di hospital?

    Pihak syarikat mempunyai jawatankuasa bagi menyelesaikan masalah disiplin kakitangan syarikat. Sekiranya individu tersebut masih tidak berubah, pihak syarikat akan memberhentikan individu tersebut.

  • 2. Apakah peraturan dan garispanduan yang perlu dipatuhi oleh kontraktor PSK yang memerlukan penyewaan lori sebagai pengangkutan bagi pengurusan sisa klinikal?

    Pihak kontraktor perlu mematuhi segala peraturan dan garispanduan yang disediakan oleh JAS berhubung lori pengangkutan sisa klinikal. Semua pengangkutan sisa klinikal perlu bernaung di bawah pemegang lesen JAS untuk mengangkut sisa klinikal.

  • 3. Bagaimanakah kerja dan peruntukan CM dilaksanakan?

    Kerja CM yang dipohon cuma perlu dibincang dalam VCM dan syarikat PSK akan sediakan CA serta BQ dengan pengesahan pihak klinik sahaja. Kemudian permohonan CM terus dihantar ke Unit Kejuruteraan JKN untuk kelulusan. Surat arahan kerja akan dikeluarkan oleh Wakil CA iaitu TPKN(KA) kepada syarikat PSK dan disalinkan kepada pihak PKD untuk makluman. Bayaran CM adalah di peringkat JKN setelah kerja selesai termasuk T&C dan pengukuran semula dilakukan.

  • 4. Berapa lama tempoh untuk pihak Syarikat PSK menyerahkan permohonan CA untuk CM selepas work request dikeluarkan?

    a) Untuk kerja-kerja CM kecemasan, tidak perlu CA segera. Kerja tersebut perlu dilaksanakan dengan serta merta dengna syarat pihak JKN dan klinik dimaklumkan dan Syarikat PSK laksanakan kerja menggunakan work order.

    b) Untuk kerja-kerja CM yang biasa, CA disediakan sebaik-baiknya dalam tempoh sebelum VCM seterusnya diadakan kerana Syarikat PSK perlu bentang dan kemukakan CA untuk dikenalpasti keutamaan kerja-kerja CM yang dicadangkan untuk persetujuan VCM sebelum Syarikat PSK kemukakan CA dan BQ terus kepada Jurutera JKN untuk kelulusan dan seterunya, arahan kerja dikeluarkan oleh JKN. Tidak perlu melalui PKD kerana PKD adalah wakil dalam VCM. Jurutera JKN hanya perlu kemukakan salinan kelulusan kerja CM/ arahan kerja kepada PKD dan Klinik untuk makluman sahaja.

    c) Untuk kerja CM yang dicadangkan sebelum Syarikat PSK masuk 1 Julai 2015, memadai untuk pihak Syarikat PSK menyediakan dan kemukakan senarai CM dan BQ kepada Jurutera JKN. JOKN akan buat pemeriksanaan dan sahkan serta keluarkan arahan kerja untuk tandantangan Wakil Pentadbir Kontrak. Mesyuarat Kadar Harga jika perlu, boleh diadakan semasa atau selepas kerja dilaksanakan. Jadi, perlu dinyatakan di dalam surat arahan kerja tersebut bahawa kadar harga yang tidak terdapat dalam Jadual Kadar Harga JKR perlu dipersetujui bersama dalam Mesy.J/K Kadar Harga dan harga muktamad adalah berdasarkan pengukuran semula di tapak.

     

  • 5. Apakah itu MEET?

    Medical Equipment Enhancement Tenure (MEET) adalah merupakan program penyenggaraan dan pembekalan peralatan biomedikal di klinik - klinik terpilih di seluruh Malaysia. Pada masa ini, hanya 10 negeri sahaja yang terlibat iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, WP Kuala Lumpur/Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah dan WP Labuan. Syarikat Quantum Medical Solution Sdn Bhd (QMS) telah dipilih untuk menjalankan perkhidmatan penyenggaraan dan pembekalan dalam program MEET ini. 

  • 6. Bilakah Syarikat Konsesi, Quantum Medical Supply Sdn. Bhd. (QMS) mula menjalankan perkhidmatan penyelenggaraan?

    Syarikat Konsesi, QMS menjalankan perkhidmatan penyelenggaraan bermula pada 15 Januari 2015.

    Untuk makluman, perjanjian telah ditandatangani pada 17 April 2014 dan tarikh berkuatkuasa pada 17 Disember 2014. Tarikh permulaan penyelenggaraan bermula 15 Januari 2015 setelah bon penyelenggaraan dikemukakan oleh pihak syarikat.

  • 7. Apakah jenis-jenis peralatan yang termasuk di dalam Program MEET?

    Terdapat tiga (3) jenis peralatan biomedikal di bawah Program MEET iaitu:

    1. Existing Biomedical Equipment (EBE)- Peralatan biomedikal sediaada (Appendik B1 & B2) di dalam Klinik Kesihatan (Appendik A1) dan Klinik Pergigian (Appendik A2)  yang disenaraikan di dalam kontrak
    2. New Biomedical Equipment (NBE)- Peralatan biomedikal bernilai RM2000 ke atas yang akan dibekalkan menerusi perolehan tender (Appendik B3 & B4)
    3. Purchased Biomedical Equipment (PBE) - Peralatan biomedikal bernilai RM2000 ke bawah yang akan dibekalkan menerusi perolehan tender (Appendik B5 & B6)
  • Kejururawatan
    There are no questions in this category
PENAFIAN :
JKN Sabah dan Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Hakcipta Terpelihara @ 2018 - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah | Paparan terbaik menggunakan IE 9 dan ke atas/ Mozila Firefox 3.0 dan ke atas / Chrome dengan resolusi 1024 * 768