JABATAN DIETETIK DAN SAJIAN
PENGENALAN
Jabatan Dietetik dan Sajian berperanan memberi dan menyediakan perkhidmatan dietetik klinikal dan sajian yang menyeluruh kepada pesakit agar pesakit dapat menikmati kemudahan makanan yang berkhasiat mengikut keperluan dan mencapai piawai serta dapat mengekalkan kesihatan diri.
VISI
Jabatan Dietetik dan Sajian akan berusaha dalam perkembangan perkhidmatanmakanan, dietetik klinikal dan juga promosi kesihatan untuk membantu rawatan pesakit selaras dengan visi dan misi hospital serta Kementerian Kesihatan Malaysia. Sistem pengurusan akan mengutamakan inovasi, teknologi dan pengetahuan terkini ke arah peningkatan kualiti berterusan.
MISI
Jabatan Dietetik dan Sajian akan berusaha untuk :-
Perkhidmatan Sajian
Merancang penyediaan makanan dengan mematuhi keperluan nutrien, tatacara proses katering, prinsip kebersihan dan keselamatan makanan, bersesuaian dengan teknologi semasa serta berkualiti.
Melaksanakan sistem pengurusan dengan sempurna berdasarkan polisi-polisi, pekeliling-pekeliling dan arahan yang ditetapkan.
Perkhidmatan Dietetik
Membantu rawatan perubatan melalui perkhidmatan dietetik klinikal dan promosi kesihatan berdasarkan amalan ‘evidence-based’ di samping menyumbang kepakaran dalam bidang berkenaan.
Menyediakan perkhidmatan dan pendidikan berkualiti dalam bidang terapi pemakanan perubatan.
Menyumbang kepada kajian dan penyelidikan dalam bidang pemakanan dan dietetik.
OBJEKTIF
Objektif Umum
Untuk memastikan perkhidmatan makanan dan perkhidmatan dietetik klinikal serta promosi kesihatan dilaksanakan secara professional, berkualiti dengan mengutamakan pelanggan.
Objektif Khusus
Untuk memastikan diet normal dan diet terapeutik dibekalkan mengikut pesanan wad bagi kelas satu, tiga dan wad kanak-kanak.
Untuk memastikan diet kelas satu dibekalkan untuk pegawai perubatan bertugas atas panggilan, mengikut kelayakan.
Untuk memastikan khidmat ‘medical nutrition therapy’ bagi ‘oral diet’ serta ‘nutrition support’ diberi kepada pesakit yang dirujuk oleh pegawai perubatan.
Untuk memberi latihan praktikal katering dan ‘internship’ dietetik kepada pelatih dari Institusi Pendidikan Tinggi.
Untuk menggalakkan penglibatan di dalam kajian serta penyelidikan katering dan dietetik klinikal/ dietetik komuniti mengikut keperluan demi peningkatan mutu perkhidmatan
CARTA ORGANISASI
Jabatan Dietetik dan Sajian haruslah diketuai oleh Pegawai Dietetik U44 yang bertanggungjawab dalam pengurusan jabatan. Pegawai tersebut haruslah memantau perkhidmatan dietetik dan perkhidmatan sajian.
Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian perlu dilantik oleh Pengarah Hospital.
Perkhidmatan Dietetik haruslah disokong oleh Pegawai Dietetik U41.
Perkhidmatan Sajian haruslah dibantu oleh Pen. Peg. Penyediaan Makanan C29 dan disokong oleh Pembantu Penyediaan Makanan N19.