UNIT PERLINDUNGAN SINARAN

Image

PENGENALAN

Unit Perlindungan Sinaran ditubuhkan pada 28 April 2025 di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mematuhi Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Penubuhan ini bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti Program Pelindungan Sinaran (PPS) secara berpusat, cekap, dan sistematik di fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pematuhan ini amat penting untuk melindungi pesakit, pekerja, orang awam, serta alam sekitar daripada risiko radiasi. Melalui pelaksanaan PPS ini, setiap fasiliti kesihatan diwajibkan menubuhkan Jawatankuasa Pelindungan Sinaran (JPS) yang dianggotai oleh Pemegang Lesen, Pegawai Pelindungan Sinaran, Penyelia Pelindungan Sinaran, dan kakitangan yang terlibat dalam penggunaan sinaran mengion.

OBJEKTIF

Unit ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan dibawah Akta 304 dan selaras dengan dasar KKM bagi tujuan perlindungan personel pesakit dan orang awam dan persekitaran dalam penggunaan sumber sinaran perubatan.

INFO UNIT

UPS berfungsi menyelaraskan Program Pelindungan Sinaran (PPS) secara berpusat bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi dalam pengurusan sinaran mengion di fasiliti kesihatan.

Pemantauan keselamatan radiasi unit ini merangkumi semua kawasan berisiko utama, termasuk:

  1. Jabatan Radiologi

  2. Jabatan Perubatan Nuklear

  3. Jabatan Radioterapi dan Onkologi

  4. Jabatan-jabatan lain yang mengendalikan peralatan sinaran mengion

Unit ini komited untuk melindungi pesakit, pekerja kesihatan, dan orang awam daripada sebarang risiko pendedahan sinaran yang tidak sewajarnya, selaras dengan keperluan Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984.

SKOP PERKHIDMATAN

1. Pematuhan Regulatori

Menjadi Urus Setia JPS, menguruskan Sijil Pendaftaran, kelulusan pemasangan, penggunaan, penstoran serta pelupusan radas dan bahan radioaktif.

2. Audit & Pemantauan

Pelaksanaan audit keselamatan sinaran, ujian integriti APD/PPE, pemantauan pengelasan kawasan, dan pengurusan rekod kesihatan pekerja.

3. Latihan & CQMP

Penganjuran latihan kesedaran keselamatan sinaran dan penyelarasan program latihan Clinically Qualified Medical Physicist (CQMP).