RUMAH RONALD McDONALD
UNIT PERKHIDMATAN, PERJAWATAN & HRMIS

PENGENALAN
Unit Rumah Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah pada asalnya dikenali sebagai Balai Pelawat dan mula beroperasi pada tahun 2008 bagi menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada keluarga pesakit yang menerima rawatan di hospital.
Pada peringkat awal penubuhannya, Balai Pelawat hanya terdiri daripada sebuah bangunan kecil yang mempunyai 10 buah bilik serta sebuah ruang tamu. Setiap bilik dilengkapi dengan bilik mandi sendiri dan kemudahan asas seperti kipas, katil dan tilam. Katil yang digunakan ketika itu diperoleh daripada hospital lama Hospital Keningau yang tidak lagi digunakan, sebagai usaha memastikan kemudahan asas dapat disediakan kepada keluarga pesakit yang memerlukan. Bangunan asal tersebut kini telah dijadikan sebagai pusat rawatan perubatan tradisional.
Pada tahun 2011, sebuah Balai Pelawat baharu telah dibuka bagi menampung peningkatan keperluan keluarga pesakit. Kemudahan tersebut menyediakan konsep penginapan berbentuk dormitori dengan kapasiti sebanyak 20 buah katil, merangkumi bilik lelaki dan bilik perempuan. Bilik perempuan menyediakan 8 buah katil manakala bilik lelaki menyediakan 12 buah katil. Kemudahan tandas dan bilik mandi digunakan secara bersama oleh penghuni.
Seiring dengan keperluan semasa dan usaha meningkatkan keselesaan keluarga pesakit, Balai Pelawat telah dinaik taraf pada November 2024 dan secara rasminya dikenali sebagai Rumah Kebajikan Ronald McDonald (RMHC). Projek penambahbaikan bangunan ini telah ditaja oleh Ronald McDonald House Charities bagi menyediakan kemudahan penginapan yang lebih selesa, moden dan mesra keluarga.
RMHC kini menyediakan 14 buah bilik yang terdiri daripada tiga kategori iaitu bilik single, double dan double decker. Setiap bilik dilengkapi dengan tandas dan bilik mandi sendiri, penghawa dingin, kipas siling serta kipas dinding bagi memastikan keselesaan penghuni. Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan seperti dapur memasak, ruang makan, dobi, surau lelaki dan perempuan serta bilik permainan kanak-kanak.
Kemudahan RMHC disediakan khusus untuk keluarga pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di hospital, terutamanya keluarga dari luar daerah, kawasan pedalaman, golongan B40 dan miskin tegar. Penubuhan RMHC mencerminkan komitmen berterusan dalam menyediakan sokongan kebajikan, keselesaan dan persekitaran yang kondusif kepada keluarga pesakit sepanjang tempoh rawatan anak mereka.
OBJEKTIF
Menyediakan kemudahan penginapan sementara yang selesa dan selamat kepada keluarga pesakit kanak-kanak, khususnya keluarga dari luar kawasan Kota Kinabalu, kawasan pedalaman dan golongan B40 sepanjang tempoh rawatan pesakit.
MISI
Memberikan sokongan kebajikan, keselesaan dan persekitaran yang kondusif kepada keluarga pesakit kanak-kanak melalui perkhidmatan yang prihatin, profesional dan berteraskan nilai kemanusiaan.
GALERI


