UNIT PERKEMBANGAN PROFESION PAKAR & PEGAWAI PERUBATAN

PENGENALAN
Unit Perkembangan Profesion bertanggungjawab menyokong tadbir urus sumber manusia klinikal dengan memberi tumpuan kepada pembangunan profesional, kebajikan, kesejahteraan mental, pematuhan peraturan serta perancangan tenaga kerja Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan. Unit ini berperanan sebagai platform penyelarasan antara pengurusan hospital, jabatan klinikal, agensi berkaitan dan pegawai perubatan bagi memastikan perkhidmatan klinikal dapat disampaikan secara optimum, selamat dan mampan.
OBJEKTIF
Memperkukuh pengurusan dan pembangunan profesional warga perubatan melalui pendekatan berstruktur, sokongan kebajikan dan perancangan tenaga kerja yang berkesan.
MISI
Unit Perkembangan Profesion komited untuk menjadi pusat kecemerlangan perkhidmatan kesihatan melalui:-
Menyokong pengurusan dan pembangunan professional Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan;
Memastikan kebajikan, kesejahteraan mental dan profesionalisme warga perubatan diberi keutamaan;
Memperkukuh komunikasi dua hala dan tadbir urus sumber manusia klinikal;
Menyokong perancangan tenaga kerja dan pematuhan keperluan peraturan.
SKOP PERKHIDMATAN
Skop perkhidmatan Unit Perkembangan Profesion merangkumi tetapi tidak terhad kepada:-
1. Penilaian Keperluan Pegawai Perubatan: Menilai keperluan Pegawai Perubatan di jabatan dan unit secara berkala bagi memastikan pengagihan tenaga kerja klinikal yang optimum.
2. Pengurusan Data Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan: Mengemaskini data linelist Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan, serta menyokong analisis perancangan tenaga kerja (workforce planning) bersama Timbalan Pengarah Perubatan.
3. Pematuhan Profesional dan Pembangunan Kerjaya: Memantau pendaftaran APC dan NSR secara berkala bersama Unit Medico-legal, serta memantau penglibatan Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan dalam continuing medical education (CME), program sarjana dan latihan subkepakaran bersama Unit Latihan.
4. Dialog dan Komunikasi Dua Hala: Menyelaras sesi dialog atau town hall bersama Pegawai Perubatan Siswazah dan Pegawai Perubatan di bawah penyeliaan Timbalan Pengarah Perubatan, dengan menyediakan platform komunikasi terbuka bagi sesi soal jawab dan penjelasan isu berkaitan perkhidmatan;
5. Sokongan Kesihatan Mental dan Kebajikan: Menyokong pelaksanaan program sokongan kesihatan mental seperti House Officer Encouragement And Reassurance Through Sharing & Support (HEARTS), serta mengamalkan konsep open door policy bersama Timbalan Pengarah Perubatan bagi menggalakkan perbincangan terbuka berkaitan kebajikan dan kesejahteraan;
6. Budaya Korporat dan Profesionalisme: Menerapkan dan memperkukuh budaya korporat, etika profesional dan nilai kerja berpasukan dalam kalangan Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan.
PIAGAM PELANGGAN
Sasaran ≥ satu (01) sesi setahun bagi dialog atau sesi town hall Pegawai Perubatan;
Sasaran ≥ satu (01) sesi setahun bagi dialog atau sesi town hall Pegawai Perubatan Siswazah;
100% Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan mempunyai APC tahunan yang terkini.

