UNIT KESIHATAN AWAM

PENGENALAN
Unit Kesihatan Awam telah ditubuhkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah pada tahun 2012. Unit ini ditempatkan di Bangunan Kejuruteraan bersebelahan dengan bangunan utama PPNR. Pada awal penubuhan Unit Kesihatan Awam telah diisi dengan seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran. Selaras dengan perkembangan semasa, terdapat pertambahan bilangan ahli dalam unit ini. Pada tahun 2016, seorang Pembantu Kesihatan Awam telah ditempatkan untuk menampung beban kerja yang semakin meningkat dan persekitaran yang semakin mencabar. Pada tahun 2017, unit ini telah ditambah dan diketuai oleh seorang Pegawai Perubatan dan pada bulan Oktober 2020, seorang lagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran telah ditambah di unit ini menjadikan unit ini mempunyai 4 orang kakitangan. Pada 2 Disember 2024, perubahan carta organisasi unit telah berlaku dan kini unit ini diketuai oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran. Rentetan daripada perubahan carta organisasi, perpindahan pegawai dan pertambahan pegawai, pada masa kini unit ini hanya dianggotai 3 orang pegawai sahaja.
OBJEKTIF
Unit Kesihatan Awam Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah berhasrat untuk memastikan semua anggota dan orang yang terlibat dalam aktiviti atau berurusan dengan kesihatan awam sentiasa dalam keadaan sihat dan persekitaran yang selamat. Unit Kesihatan Awam akan bekerjasama dengan pihak pengurusan, kakitangan hospital dan sesiapa sahaja yang berkaitan untuk mencapai matlamat ini melalui kerja berpasukan dan komitmen:
Pencegahan dan kawalan penyakit bawaan vektor (LILATIN) terutamanya penyakit denggi di kawasan HWKKS.
Memastikan kakitangan hospital, pesakit dan orang awam yang berurusan di HWKKS terhindar dari risiko jangkitan, bahaya, ancaman kemalangan, kecederaan dan penyakit pekerjaan.
Membantu hospital mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat.
Untuk memastikan pesakit dan keluarga mereka mendapat perkhidmatan pendidikan dan promosi kesihatan.
Untuk memastikan surveilans, penyelidikan epidemiologi dan aktiviti latihan, diselaraskan dan dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Mewujudkan pangkalan data lengkap bagi epidemiologi berkaitan terutamanya untuk mencegah penyakit, kecederaan dan aspek keselamatan pekerjaan.
MISI
Memberi perkhidmatan yang cekap, mesra dan berkualiti berlandaskan nilai etika profesional kepada pesakit, pelawat dan kakitangan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.
SKOP PERKHIDMATAN
Unit Kesihatan Awam bertanggungjawab dengan semua hal-hal yang berkaitan dengan kesihatan awam dari segi pencegahan, kawalan mahupun tindakan perundangan di HWKKS. Antara aktiviti kesihatan awam yang dijalankan di HWKKS adalah :
i. Kawalan Penyakit Berjangkit
Melaksanakan semua langkah pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit untuk membendung penularan kepada pesakit lain dan orang awam yang berada di hospital.
ii. Kawalan Penyakit Bawaan Vektor
Merancang, mengatur dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bawaan vektor
iii. Keselamatan dan Kualiti Makanan
Memantau keselamatan dan kualiti makanan bagi memastikan semua makanan yang disediakan dan dijual di dalam hospital selamat untuk dimakan dan mematuhi peraturan serta memastikan semua pengusaha makanan mematuhi peraturan.
iv. Penguatkuasaan dan Perundangan
Merancang, mengurus, menyelaras dan menilai aktiviti yang berkaitan dengan penguatkuasaan:
-Akta Makanan 1983,
-Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
-Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.
-Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024
-Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
v. Promosi Kesihatan
Membuat ceramah / pameran yang berkaitan dengan Kesihatan Awam di HWKKS.

