2. Bagaimana untuk mengenalpasti sesuatu ubat itu adalah ubat yang berdaftar dengan KKM?
Semua produk ubat-ubatan di Malaysia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum dipasarkan kepada pengguna termasuklah produk-produk yang dibuat di luar negara. Ubat berdaftar dijamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Produk yang berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL (contoh MAL20125467T) dan label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Sekiranya sesuatu produk ubat tidak mempunyai kedua-dua ciri ini, produk tersebut dikhuatiri tidak berdaftar dengan KKM.
Semua ubat berdaftar mesti mempamerkan nombor pendaftarannya pada label atau pembungkusannya. Nombor pendaftaran dimulakan dengan huruf ‘MAL’ diikuti dengan 8 digit nombor dan diakhiri dengan huruf-huruf yang menunjukkan kategori pendaftaran produk tersebut iaitu :
Kategori pendaftaran produk:
A – Ubat mengandungi racun terkawal
X – Ubat yang tidak mengandungi racun terkawal /OTC
T – Ubat tradisional
N – Suplemen kesihatan
Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk memenuhi keperluan Harmonisasi ASEAN.
Anda juga boleh menyemak kesahihan status nombor pendaftaran atau maklumat berkaitan produk tersebut di laman http://www.pharmacy.gov.my.

