Accessibility Tools

Image
 faq  aduan  hubungi  sitemap

Unit Pembedahan Plastik & Rekonstruktif

PENGENALAN

Unit Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Tawau merupakan pusat rujukan utama bagi Kluster Sabah Timur yang merangkumi daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak, dan Semporna. Unit ini komited menyediakan perkhidmatan rawatan kepakaran sub-bidang pembedahan plastik, pemulihan fungsi (rekonstruktif), pengurusan luka burn (lecur), serta rawatan luka kronik yang kompleks bagi seluruh komuniti di Pantai Timur Sabah.

VISI

Menjadi peneraju perkhidmatan pembedahan plastik, rekonstruktif, dan penjagaan luka yang saksama, berkualiti tinggi, dan cemerlang bagi seluruh komuniti Kluster Sabah Timur tanpa mengira kekangan geografi.

MISI

  1. Akses Setempat: Menyediakan rawatan kepakaran rekonstruktif terus kepada penduduk Pantai Timur Sabah bagi mengurangkan keperluan rujukan jarak jauh ke Kota Kinabalu.

  2. Kolaborasi Kluster: Memperkukuh rangkaian rujukan dan perkhidmatan Klinik Pakar Melawat (Visiting Specialist Clinic) di peringkat hospital daerah (Lahad Datu, Kunak, dan Semporna).

  3. Pendekatan Multidisiplin: Bekerjasama secara bersepadu dengan unit kecemasan, ortopedik, pembedahan am, dan unit penjagaan rapi untuk rawatan trauma serta kes kecederaan kritikal.

OBJEKTIF

1. Intervensi Awal & Kecemasan: Memberikan rawatan segera bagi kes kecederaan akibat trauma (seperti kecederaan muka dan tangan) serta kes melecur (burns) bagi meminimumkan komplikasi jangka panjang.

2. Pemulihan Fungsi & Penampilan: Melaksanakan pembedahan rekonstruktif untuk memulihkan fungsi fizikal dan penampilan pesakit akibat kanser, trauma, mahupun kecacatan kongenital (seperti sumbing).

3. Sistem Rujukan Efektif: Menyediakan sistem penilaian awal di peringkat daerah dan penjadualan pembedahan yang efisien di Hospital Tawau bagi mengurangkan masa menunggu pesakit.

4. Pendidikan Berterusan: Meningkatkan kemahiran doktor perubatan dan paramedik di hospital daerah kluster dalam aspek penjagaan awal luka bakar dan teknik pengurusan luka sebelum dirujuk.

SKOP PERKHIDMATAN

1. Pembedahan Rekonstruktif Trauma & Penutupan Tisu Lembut

  • Rawatan Kecederaan Kompleks: Rekonstruksi segera (acute) atau tertunda untuk kes kecederaan parah yang melibatkan kehilangan kulit, daging, dan pendedahan struktur penting terutamanya di bahagian wajah/kepala

  • Prosedur Penutupan Tisu Lembut (Soft Tissue Coverage): Pelaksanaan teknik lanjutan termasuk prosedur pemindahan lapisan tisu (local/regional/free flap surgery) dan graf kulit (skin grafting) bagi memastikan liputan optimum pada kawasan luka trauma yang luas.

2. Pemeriksaan, Pembedahan Ketumbuhan Kulit & Rekonstruksi Pasca-Kanser (Multidisiplin)

  • Pemeriksaan & Diagnosis Komprehensif: Penilaian klinikal awal dan prosedur biopsi bagi mengesan ketumbuhan kulit sama ada jenis kanser atau bukan kanser.

  • Pembedahan Ketumbuhan Bukan Kanser: Membuang ketumbuhan yang mengganggu fungsi fizikal atau estetik seperti lipoma yang besar, sebaceous cyst, neurofibroma dan sebagainya.

  • Pembedahan & Rekonstruksi Kanser Kulit: Pembedahan membuang kanser kulit seperti Basal Cell Carcinoma (BCC), Squamous Cell Carcinoma (SCC), dan Melanoma, diikuti teknik rekonstruksi untuk menutup defek yang terhasil.

  • Rawatan Bersepadu Pasca-Kanser: Kolaborasi bersama Unit Pembedahan Am, ORL, Onkologi, dan Patologi bagi kes pembuangan tumor yang besar, diikuti fasa rekonstruksi untuk penutupan luka serta koordinasi rawatan susulan.

3. Pembedahan Kontur Badan (Body Contouring Surgery)

  • Pembedahan membuang lebihan kulit dan lemak yang menggelambir (excess loose skin) bagi memulihkan fungsi pergerakan pesakit.

  • Fokus utama diberikan kepada pesakit pasca-penurunan berat badan ekstrem (sama ada melalui diet atau selepas pembedahan bariatrik).

4. Pembedahan Rekonstruktif Defek Kongenital (Kecacatan Sejak Lahir)

  • Pembedahan sumbing bibir dan lelangit (Cleft Lip and Palate repair).

  • Pembetulan kecacatan kongenital pada tangan dan kaki (seperti jari melekat/syndactyly atau jari berlebihan/polydactyly).

  • Rekonstruksi kecacatan struktur kongenital lain pada bahagian muka dan badan.

5. Rawatan dan Pengurusan Parut Komprehensif (Scar Management)

  • Rawatan parut hipertrofik (hypertrophic scar) dan parut keloid pasca-trauma, pembedahan, atau kesan melecur.

  • Pembedahan pembetulan parut kontraktur (scar contracture release) untuk memulihkan pergerakan sendi yang terhad akibat parut tegang.

  • Terapi parut bukan pembedahan (seperti suntikan kortikosteroid intralesional dan khidmat nasihat penggunaan kepingan gel silikon/stokin tekanan).

6. Pengurusan dan Pembedahan Kes Luka Bakar (Burn Care)

  • Rawatan kecemasan dan kritikal untuk mangsa melecur akibat api, air panas, elektrik, bahan kimia dan sambaran kilat.

  • Prosedur menampal kulit (skin grafting) dan pemindahan lapisan tisu (flap surgery) untuk penutupan luka lecur.

7. Rawatan Kepakaran Luka Kronik dan Kompleks (Kolaborasi Multidisiplin)

  • Pengurusan Luka Kronik: Penjagaan luka yang sukar sembuh seperti luka diabetes (diabetic foot ulcer), ulser tekanan (bedsore/pressure injury), dan ulser vaskular menggunakan produk rawatan luka terkini (advanced wound dressing).

  • Penyediaan Tapak Luka (Wound Bed Preparation): Proses pembersihan luka, kawalan jangkitan kuman, dan pembuangan tisu mati (debridement) bagi merangsang pertumbuhan tisu granulasi yang sihat untuk pembedahan rekonstruktif seterusnya

  • Kerjasama Multidisiplin untuk Penutupan Tisu Lembut (Soft Tissue Coverage): Bekerjasama secara inter-disiplin bersama unit-unit rujukan (seperti Pembedahan Am, Ortopedik, dan Perubatan Dalaman) sebaik sahaja fasa wound bed preparation optimum dicapai. Unit Pembedahan Plastik akan mengambil alih untuk melakukan prosedur penutupan luka yang kompleks (seperti skin grafting, flap surgery, atau terapi vakum/NPWT) bagi memastikan luka sembuh sepenuhnya dengan fungsi yang baik.