KOTA KINABALU, 5 September 2026 – YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah merasmikan Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS). PPPS merupakan fasiliti rujukan kepakaran pergigian pertama di Zon Malaysia Timur yang beroperasi secara berpusat di luar persekitaran hospital (*non-hospital based*). Pembangunan fasiliti bernilai RM32.76 juta ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas akses rakyat kepada rawatan kepakaran pergigian.
Pusat Pakar Pergigian Sabah dibina dengan kapasiti 18 bilik rawatan dan 18 kerusi pergigian di bawah projek RMK. Bangunan ini telah siap sepenuhnya pada 5 Ogos 2025 dan diserahkan pada 5 Disember 2025 dengan kos RM 32 juta. Sejak beroperasi pada 5 Januari 2026, PPPS telah merekodkan lebih 8,500 kehadiran pesakit. Fasiliti ini istimewa kerana menjadi pusat rujukan kepakaran pergigian bagi Sabah, Utara Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, meliputi kira-kira 3.95 juta penduduk.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan terus komited memberikan perkhidmata terbaik kepada semua pelanggan di rantau ini. Terima kasih diucapkan kepada semua ketua jabatan dan wakil dari pelbagai agensi kerajaan persektuan dan negeri kerana sudi hadir bagi menyaksikan satu detik sejarah perkembangan kesihatan rakyat Sabah khususnya.
Turut hadir bersama ialah
- YBrs. Dr. Fauziah binti Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian) KKM
- YBhg. Datuk Dr William Gotulis, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah
- YBrs. Dr. Thaddius Herman anak Maling, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Pergigian)
- YBrs. Dr. Muhammad Hamidie bin Sa’ari, Pengarah Pusat Pakar Pergigian Sabah.
