TUARAN, 5 September 2026 – YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, telah merasmikan Program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Borneo yang berlangsung di Tuaran, Sabah, hari ini. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan program kembara yang bertempat di Dewan Seri Sulaman.
Kempen TOBaTS yang dilancarkan pada tahun 2024 merupakan inisiatif berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya serta risiko penggunaan ubat tidak sah.
Istilah “Ubat Tidak Sah” merangkumi lima kategori utama, iaitu:
■ Ubat yang tidak berdaftar dengan KKM;
■ Ubat tiruan atau palsu;
■ Ubat yang dicampurpalsu dengan bahan terlarang atau racun;
■ Ubat yang diperoleh daripada sumber tidak sah; dan
■ Ubat yang diimport tanpa kelulusan.
Program berkonsepkan “aramaiti sambil belajar” membawa maksud berseronok sambil belajar ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah, pameran TOBaTS, pameran agensi kerajaan, khidmat rundingan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), saringan kesihatan dan pergigian percuma, Jualan Rahmah, program derma darah serta pertandingan sukan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan prinsip “Semak Dahulu Sebelum Beli”. Status pendaftaran produk boleh disemak melalui laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my, manakala ketulenan label keselamatan hologram FarmaTag® boleh disemak melalui aplikasi MyUBAT.
Maklumat lanjut mengenai Kempen TOBaTS boleh diperoleh melalui:
🔗 https://pharmacy.moh.gov.my/tobats
Hadir sama, YB Datuk Julita Mojungki, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah; YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen P170 Tuaran; YB Senator Datuk Edward Linggu Bukut, Ahli Dewan Negara; YB Datuk Jasnih bin Daya, Ahli Dewan Undangan Negeri N13 Pantai Dalit; YB Datuk Abd Kassim bin Jali @ Razali, Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik; YBhg. Datuk Mohd Razali bin Wahab, Setiausaha Persekutuan Sabah; YBrs. Dr. Azuana binti Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi); serta YBrs. Tuan Ibrahim Terki, Pegawai Daerah Tuaran.
#KKMPrihatin #MalaysiaSihat #SihatBersama #TolakUbatTidakSah
Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Sabah
