Accessibility Tools

LATAR BELAKANG HOSPITAL

 

Peringkat Awal Hospital Queen Elizabeth

Bangunan asal Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu telah dibina di Jesselton pada tahun 1957, sebaik sahaja selepas Perang Dunia Kedua di Batu 1, Jalan Tuaran di sebelah bangunan Radio Malaysia Sabah. Struktur asal hospital ini dibangunkan daripada binaan papan dan hanya mempunyai satu blok bangunan dengan kapasiti 208 katil, iaitu blok yang dikenali hari ini sebagai bangunan hospital lama dan terletak di atas bukit di batu 1½, Jalan Penampang.

Pemandangan Depan Jesselton Hospital

Pada masa yang sama, Hospital Tibi telah dibina di atas bukit berhampiran yang mempunyai 135 katil. Sejak perasmiannya pada tahun 1957, Hospital Queen Elizabeth menjalani pembangunan pesat. Perubahan ini menyebabkan kawasan hospital bertambah luas dan lebih kompleks dengan tambahan beberapa bangunan baru dan kerja pengubahsuaian bangunan-bangunannya dari semasa ke semasa.

Blok Bangunan Lama pada tahun 1970

Pada tahun 1967, sebuah blok baru dibina untuk menempatkan Jabatan Pesakit Luar dan Pusat Makmal. Jabatan Pesakit Luar sedia ada kemudiannya telah dibangunkan menjadi Unit Fisioterapi. Pada tahun 1980, Blok Bersalin & Nurseri juga telah dibina. Seterusnya pada bulan Mei 1981, Unit Bersalin Kelas Pertama diselenggara dan diubahsuai menjadi Wad Kanak-Kanak. Manakala, Pejabat Pentadbiran ditempatkan semula di Tingkat 1 di bangunan lama dan kawasan yang dikosongkan digunakan untuk keperluan makmal. Pada masa yang sama, Unit Kecemasan terletak di Jabatan Pesakit Luar telah diselenggara dengan kos RM75,000.

Lawatan Ratu Elizabeth pada tahun 1971

Pembangunan besar berlaku dengan pembinaan Blok Menara dengan kos RM20 juta pada tahun 1981. Perasmian Blok Menara pada Disember 1981 telah mengubah keseluruhan hospital yang dahulunya hanya bangunan biasa dan kecil, kini mempunyai satu bangunan tinggi yang telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang lebih baik.

HQE pada 1980

Blok Menara menempatkan CSSD, Farmasi Pesakit Dalam, Jabatan Radiologi, Jabatan Oftalmologi, beberapa wad pembedahan, wad kelas pertama dan wad VIP. Pada hari ini, Hospital Queen Elizabeth ialah hospital terbesar di negeri Sabah dan menjadi pusat rujukan untuk semua hospital daerah. Beberapa bidang utama disediakan seperti rawatan perubatan, termasuk Unit Kelecuran dan Unit Rawatan Rapi Pediatrik. Walau bagaimanapun, pembangunan Hospital Queen Elizabeth masih berterusan. Pelan induk yang bermula pada tahun 1995 akan dilaksanakan dalam dua fasa. Termasuk dalam perancangan ialah pembinaan dua blok menara baharu yang akan menempatkan Unit Kemalangan dan Kecemasan yang baharu,  Unit Penjagaan Koronari, Pusat Makmal, beberapa wad dan memperluas Unit Rawatan Rapi sedia ada. Perkembangan ini akan membawa hospital dengan yakin dalam abad ke-21 dan hospital akan memainkan tugas penting untuk membangunkan sebuah masyarakat yang progresif dan sihat.