JABATAN BEDAH MULUT

PENGENALAN

Jabatan Bedah Mulut & Maksilofasial memberi perkhidmatan kepakaran Bedah Mulut & Maksilofasial sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran. Ia juga menjadi pusat rujukan kepada hospital-hospital daerah seluruh negeri Sabah dan termasuk Hospital Wilayah Persekutuan Labuan dan Hospital Lawas, Sarawak.

Klinik Pakar Bedah Mulut & Maksilofasial di Hospital Queen Elizabeth memulakan operasinya pada bulan September 1986, dianggotai oleh 3 orang kakitangan, diketuai oleh Dr. Norma Abd. Jalil dan 2 orang Pembantu Pembedahan Pergigian. Pada ketika itu , Jabatan ini juga memberi rawatan pembedahan pergigian pediatrik sehingga Jabatan Pediatrik Pergigian memulakan perkhidmatan pada bulan November 2001 di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Klinik Pakar Bedah Mulut & Maksilofasial ini dinaiktaraf kepada Jabatan Bedah Mulut & Maksilofasial pada tahun 2005.

Pada bulan Julai 2008, Jabatan ini telah berpindah ke Bangunan Pakar Baru Hospital Queen Elizabeth iaitu di Aras 2, bersebelahan dengan Jabatan ORL dan berada di tempat sama dengan kepakaran Pergigian lain iaitu Jabatan Patologi dan Perubatan Mulut, Jabatan Pembedahan Pergigian Pediatrik dengan kemudahan 6 Bilik Rawatan. Selain beroperasi di Hospital Queen Elizabeth, Jabatan Bedah Mulut & Maksilofasial juga melaksanakan lawatan dan rawatan ke Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

Jabatan ini juga telah diiktiraf sebagai pusat penempatan bertauliah bagi pelajar tahun akhir siswazah Sarjana Pergigian Klinikal dari Universiti - universiti yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia, dan juga sebagai pusat latihan dan "gazzettement" bagi Pakar Bedah Mulut & Maksilofasial.

Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial merupakan satu pusat kepakaran yang menyediakan perkhidmatan rawatan trauma, patologi dan penyakit berkaitan mulut dan maksilofasial. Untuk rekod semasa, jabatan ini diketuai oleh Dr. Marzuki Bin Zainal Abidin, Pakar Perunding Bedah Mulut dan Maksilofasial.

SKOP PERKHIDMATAN

Jabatan ini menyediakan perkhidmatan kepakaran seperti berikut:

1. Pembedahan pra-prostetik dan dentoalveolar

  • Pembedahan persediaan untuk prostesis mulut
  • Pembedahan gigi terimpak

2. Trauma oral dan maksilofasial

  • Pembedahan pembetulan tulang rahang dan muka yang patah

3. Patologi oral dan maksilofasial

  • Perawatan tumor dan keganjilan oral dan maksilofasial ( termasuk kes rekahan bibir dan lelangit )
  • Rawatan kanser mulut

4. Pembedahan orthognatik

  • Pembedahan pembetulan rahang dan tulang muka yang tidak seimbang

5. Pembedahan sendi temporomandibular

  • Pembetulan patologi sendi rahang
  • Rawatan ankilosis sendi rahang

6. Pembedahan penanaman implant pergigian

7. Pembuatan prosthesis oral dan maksilofasial

  • Rawatan pembetulan kecacatan mulut dan muka akibat pembedahan dengan menggunakan prosthesis

8. Pusat latihan dan bimbingan kepada

  • Pegawai Pergigian Tahun Pertama
  • Pelatih Juruteknologi Pergigian
  • Pelatih Pembantu Pembedahan Pergigian
  • Pegawai Pergigian Sarjana OMF
  • Pegawai Perubatan Sarjana ENT
  • Penwartaan Pakar Klinikal OMF

9. Lawatan Pakar ke hospital daerah mengikut keperluan sepanjang tahun

  • Hospital Duchess of Kent, Sandakan
  • Hospital Tawau
  • Hospital Lahad Datu

10. Perkhidmatan rawatan selepas waktu pejabat ( on call )

11. Perkhidmatan Kes-kes forensik pergigian