Pengenalan
Hemodialisis ialah satu daripada kaedah rawatan gantian ginjal yang menggunakan mesin hemodialisis, tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 4 jam setiap sesi rawatan. Rawatan boleh dilakukan di pusat rawatan hemodialisis atau di rumah. Pesakit rawatan hemodialisis perlu menjalani pembedahan membuat ‘fistula’ terlebih dahulu.
Dua jarum khas dicucuk ke dalam ‘fistula’ untuk mengalirkan darah dan disambungkan ke mesin hemodialisis melalui tiub darah. Satu jarum untuk mengalirkan darah yang mengandungi bahan kumuh dari badan. Darah ini dibersihkan (dituras) menggunakan mesin hemodialisis. Darah yang telah dibersihkan akan masuk semula ke dalam badan melalui jarum yang satu lagi.
Adakah kriteria tertentu diadakan untuk membuat pilihan rawatan hemodialisis?
Berbagai faktor sosio ekonomi perlu diambil kira.
Ini termasuk :
-
Kemampuan untuk menggunakan kemudahan hemodialisis
-
Sokongan keluarga
-
Bantuan kewangan
-
Pilihan pesakit
-
Samada anda menghidapi penyakit lain yang mungkin meningkatkan risiko menjalankan rawatan hemodialisis, iaitu sebarang kontraindikasi. Sila rujuk di bawah.
Dimanakan boleh saya mendapatkan rawatan hemodialisis?
Terdapat banyak pusat pusat yang memberi rawatan hemodialisis di Malaysia. Ini termasuk hospital hospital Kementerian kesihatan, Badan bukan kerajaan, pusat dialisis swasta, pusat rawatan di universiti-universiti, dan pusat rawatan dialisis angkatan tentera.
Bagaimana saya tahu saya perlu memulakan rawatan hemodialisis?
Rawatan dialisis diperlukan apabila anda memperlihatkan tanda-tanda yang berikut :
-
Tanda-tanda dan gejala keracunan darah seperti loya, muntah, hilang selera makan, sawan,tahap kewarasan menurun.
-
Ujian darah fungsi ginjal menunjukan paras creatinine, urea dan potassium sangat tinggi.
-
Pengumpulan air dalam badan, malnutrisi(kekurangan zat makanan) atau kadar hemoglobin rendah (anaemia
-
Peningkatan “metabolic acidosis”
-
Kadar penurasan glomerular (GFR) kurang dari 10- 15mls/min (doktor akan melakukan ujian berkala bagi menentukan tahap fungsi ginjal)
Sila berjumpa Pakar Nefrologi supaya memperolehi nasihat dan bantuan memulakan dialisis pada masa yang betul.
Apakah faktor faktor kontraindikasi rawatan hemodialisis?
-
Pesakit yang mengalami masalah fungsi sistem jantung tidak stabil
-
Masalah ‘vascular access’ yang serius
-
AIDS pada tahap serius
Tambahan, rawatan dialisis mungkin tidak sesuai untuk pesakit yang menghidapi penyakit kanser peringkat akhir ataupun penyakit lain yang melibatkan kegagalan fungsi organ peringkat akhir contohnya kehilangan daya kognitif dan ingatan yang teruk (dementia)





