




BEAUFORT, 13 April 2025 – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan bin Muharam, hadir memeriahkan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Hospital Beaufort, yang diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua warga kerja dan mantan kepimpinan hospital sejak penubuhannya empat dekad lalu.
Menurut Ruslan, sambutan hari ini bukan sekadar meraikan usia hospital yang ke-40 tahun, tetapi turut menjadi detik untuk mengenang kejayaan serta pengorbanan para petugas kesihatan yang telah menabur bakti sejak dahulu hingga kini.
"Hospital Daerah Beaufort ini telah berkhidmat selama 40 tahun. Kita sangat menghargai sumbangan lebih daripada 10 orang mantan pengarah hospital serta jururawat, doktor dan kakitangan lain yang telah memberi khidmat kepada masyarakat di daerah ini,” katanya.
Ruslan menegaskan bahawa ulang tahun ini membuka ruang kesedaran kepada masyarakat bahawa hospital ini telah lama berkhidmat, namun keperluan dari segi fasiliti dan kapasiti harus dilihat semula, sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk di kawasan sekitar.
"Kita tidak sedar masa berlalu, tiba-tiba hospital ini sudah 40 tahun. Dalam tempoh itu, jumlah penduduk kita bertambah, dan keperluan dari sudut fasiliti juga meningkat. Maka kita perlu semak semula apa yang boleh ditambah baik untuk keselesaan rakyat dan kelancaran petugas kesihatan kita,” jelas beliau.
Dalam majlis tersebut, Ruslan turut diberi penghormatan menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa orang mantan Pengarah Hospital Beaufort sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa mereka dalam pembangunan institusi kesihatan itu.
Beliau turut menyuarakan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus memberi perhatian terhadap sektor kesihatan di luar bandar, termasuk memperjuangkan penambahan fasiliti dan keperluan asas demi memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang terbaik.
"Kami di pihak kerajaan sentiasa berusaha menyantuni kehendak rakyat dari aspek kesihatan. Harapan kita agar kerjasama erat antara kerajaan negeri, Persekutuan dan pihak hospital akan terus diperkukuh,” tambah beliau.
Majlis sambutan ini turut diserikan dengan kehadiran barisan mantan pengarah hospital, pegawai dan kakitangan kesihatan, serta jemputan khas, menandakan penghargaan kolektif terhadap institusi penting ini dalam sejarah perkhidmatan kesihatan di Beaufort.
Sumber DHRMedia

