Laman Web Rasmi Hospital Beaufort
Hospital Beaufort, Peti Surat 40, 89807 Beaufort Sabah pengarah.beaufort@moh.gov.my 087-212333 / 087-212334
                  
Malaysia Madani
Sabah Maju Jaya
  



Mengenai Hospital Beaufort

 Profil Hospital
Image

Mengenai Hospital

Hospital Beaufort merupakan sebuah hospital kerajaan Malaysia yang terletak di kawasan Pedalaman Bawah Negeri Sabah di daerah Beaufort iaitu kira-kira 100km dari Bandaraya Kota Kinabalu Sabah. 

Hospital Beaufort merupakan Hospital yang menyediakan perkhidmatan pesakit dalam dan pesakit luar. Hospital Beaufort telah memulakan operasinya sejak tahun 1899 dengan bilangan katil sebanyak 77 buah. Keluasan tapak asal Hospital Beaufort pada masa tersebut adalah seluas 4.27 ekar. 

Ekoran pertambahan penduduk dan kekurangan infrastruktur asas yang lain, kerajaan telah meluluskan projek pembangunan Hospital Beaufort yang baru pada masa itu. Sehubungan dengan itu, sebuah hospital baru telah didirikan di tapak yang baru dengan keluasan 8.17 hektar dengan kos RM13 juta. 

Hospital Beaufort yang baru telah siap didirikan pada tahun 1984 dan secara rasmi telah berpindah dan memulakan operasinya pada 28 Januari 1985. Pada 13 April 1985, perasmian Hospital Beaufort telah dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah, Y.A.B Datuk Harris Salleh pada masa tersebut. Pengarah Hospital Beaufort pada ketika itu ialah Datuk Dr. Mitchel Chan. 

Sejak berpindah ke fasiliti baharu ini, hospital telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan kini telah berkembang daripada sebuah hospital daerah kecil kepada sebuah hospital pakar minor yang memainkan peranan penting sebagai Ketua Hospital Kluster Beaufort kepada Hospital Kuala Penyu dan Hospital Sipitang. Dalam kapasiti ini, Hospital Beaufort turut menerima rujukan pesakit dari Lawas dan Labuan, selain berperanan memberikan sokongan kepada klinik-klinik kesihatan berhampiran.


Perkembangan ini juga membawa kepada penyediaan perkhidmatan pelbagai kepakaran di Hospital Beaufort bermula pada tahun 2023 sehingga kini di mana, Hospital Beaufort kini menyediakan tujuh (7) kepakaran klinikal utama bagi memenuhi keperluan perubatan komuniti secara menyeluruh dan berkualiti, ini termasuk Perubatan, Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik, Anestesiologi, Radiologi, Orthopedik dan Pembedahan.

Sebagai institusi kesihatan yang berpegang teguh pada visi Kementerian Kesihatan Malaysia — “Rakyat Sihat, Negara Sejahtera”, dan misi kami untuk memberikan perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berkualiti — Hospital Beaufort sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan selaras dengan perkembangan semasa.