BEAUFORT: Profesion jururawat mampu memberi kesan positif kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial negara melalui perkhidmatan mereka dalam sektor perkhidmatan kesihatan negara.
Ianya selaras dengan tema Hari Jururawat Sedunia “Our Nurse Our Future: The Economic Power of Care” pada tahun ini yang disambut pada 12 Mei baru-baru ini.
Menurut Pengarah Hospital, Hospital Beaufort, Dr.Sutharsan a/l Kannan, tema ini amat besar maknanya kerana menekankan manfaat kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial sesebuah negara hasil daripada pembangunan dalam bidang kejururawatan.
Tambah Sutharsan lagi, pemilihan tema ini amat sesuai kerana di dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, jururawat adalah profesion yang mendominasi sektor kesihatan sehingga mereka diumapakan sebagai “Tulang Belakang” sistem kesihatan negara malah kemahiran dan kepakaran yang diperolehi melalui Latihan dan pengalaman membuatkan seseorang jururawat amat diperlukan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kempen Derma Darah Sempena Hari Jururawat Peringkat Hospital Kluster Beaufort 2024 pada 17 Mei 2024 yang diadakan di Dewan Arena Belia, Kementerian Belia dan Sukan Beaufort.
“Terima kasih buat semua jururawat yang telah berbakti dengan penuh dedikasi kepada masyarakat, besar pengorbanan dan jasa yang diberikan kerana bukan sahaja masa menjadi taruhan tetapi kudrat mereka untuk menyelamatkan nyawa dan menjamin kesihatan masyarakat berada pada tahap optimum” ujar beliau.
Sutharsan turut mengingatkan agar jururawat sentiasa peka dan mematuhi Prosedur Operasi Standard semasa menjalankan rawatan bagi mempastikan rawatan yang diberikan tetap berkualiti dan mengelakkan aduan dari masyarakat.
Program Kempen Derma Darah tersebut yang diadakan secara kluster melibatkan 95 penderma darah dari kalangan jururawat dan petugas-petugas kesihatan, agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia di Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat menjayakan program tersebut antaranya Pejabat Belia dan Sukan Beaufort, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Beaufort dan kakitangan hospital yang berusaha keras mempastikan program dilaksana dengan jayanya khususnya kepada para penderma darah yang hadir.
Sumber Berita: Deasoka