Laman Web Rasmi Hospital Beaufort
Hospital Beaufort, Peti Surat 40, 89807 Beaufort Sabah pengarah.beaufort@moh.gov.my 087-212333 / 087-212334
                  
Malaysia Madani
Sabah Maju Jaya
  



Lawatan Kerja Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Ke Daerah Beaufort

 Berita HBFT   17 Jul 2023
Image
15 Julai 2023, Beaufort: Dalam usaha menambah baik fasiliti dan perkhidmatan, serta menyantuni petugas kesihatan di lapangan, YBrs. Dr. Asits bin Sanna bersama rombongan daripada Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengadakan lawatan kerja ke daerah Beaufort. Lawatan kerja ini turut disertai Dr. Maria Suleiman, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam); Dr. Thaddius Herman Maling, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian); Dr. Goh Shu Meng, wakil Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan); En. Matlan bin Asli, wakil Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) dan pegawai-pegawai kanan dari Ibu Pejabat JKNS.

Lawatan kerja beliau bermula di Klinik Kesihatan Padas Damit yang terletak 28.3 km dari Pekan Beaufort. Klinik kesihatan ini telah mula beroperasi secara rasminya pada tahun 1964. Kekuatan terkini petugas kesihatan yang berkhidmat di fasiliti ini adalah seramai 19 orang termasuk dua (2) orang Pegawai Perubatan. Antara perkhidmatan yang disediakan oleh klinik kesihatan ini adalah seperti berikut:

> Kesihatan Primer: perawatan kecemasan, rawatan pesakit luar, saringan HIV tanpa nama dan lain-lain;
> Kesihatan Ibu dan Anak: penjagaan ibu mengandung dan selepas bersalin, pemberian imunisasi, pengendalian ibu bersalin, dan lain-lain;
> Kesihatan Mental: saringan minda sihat;
> Kesihatan Warga Emas: saringan risiko warga emas; dan > Kesihatan Remaja: saringan risiko remaja dan minda sihat.

Semasa sesi lawatan tersebut, beberapa tindakan penambahbaikan telah diputuskan bagi menangani isu di Klinik Kesihatan Padas Damit ini termasuklah kesesakan pesakit yang mula berlaku sejak Mac 2023 dan masalah pendawaian elektrik.

Lawatan kerja beliau diteruskan dengan melawat bangunan komersil yang dicadangkan untuk sewaan bagi tujuan mewujudkan dan menempatkan pengoperasian Klinik Kesihatan Beaufort. Pengwujudan klinik kesihatan ini adalah untuk menumpukan kepada perkhidmatan kesihatan dan rawatan kepada pesakit luar manakala Hospital Beaufort akan fokus kepada rawatan untuk pesakit yang memerlukan kemasukan ke dalam wad. Pengujudan klinik kesihatan ini kelak akan dapat mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Beaufort.

Lawatan kerja beliau diakhiri dengan melawat projek Naik Taraf Hospital Beaufort kepada Hospital Pakar Minor yang bakal menawarkan 10 jenis perkhidmatan kepakaran. Hospital Beaufort pada masa ini telah mula menawarkan perkhidmatan kepakaran Obstetrik & Ginekologi (O&G) dan Pembedahan Am sebagai persediaan menjadi sebuah Hospital Pakar Minor sepenuhnya.

Taklimat kemajuan terkini projek tersebut telah disampaikan oleh wakil daripada Jabatan Kerja Raya Daerah Beaufort. YBrs. Dr. Asits menzahirkan harapan agar projek ini dapat disiapkan tanpa kelewatan bagi membolehkan faedahnya dapat dinikmati oleh penduduk daerah di Beaufort dan daerah berdekatan seperti Kuala Penyu, Sipitang dan Papar khasnya, serta penduduk negeri Sabah amnya. Apabila projek ini telah siap dan bangunan tersebut telah beroperasi, penduduk-penduduk yang tinggal di daerah yang disebutkan tadi tidak perlu lagi dirujuk ke hospital pakar di Kota Kinabalu kecuali bagi kes yang memerlukan perkhidmatan kepakaran tertentu. Ini secara langsung memberikan kemudahan dan menjaga kebajikan pesakit dan waris.

JKNS sentiasa komited dalam menambah baik perkhidmatan dan fasiliti demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Sumber: Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sabah