
Sukacita dimaklumkan Hospital Beaufort telah memulakan satu lagi perkhidmatan kepakaran iaitu perkhidmatan kepakaran Pembedahan Am dengan penempatan Pakar Bedah Am secara tetap di Hospital Beaufort bermula 1hb Februari 2023 selepas penempatan Pakar Perubatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) pada 3hb Januari 2023 yang lalu.
Perkembangan perkhidmatan kepakaran Pembedahan Am juga sejajar dengan hala tuju pihak Kementerian untuk menaiktaraf status Hospital Beaufort sebagai Hospital Berpakar yang bakal menawarkan sekurang - kurangnya 10 jenis perkhidmatan kepakaran di Hospital Beaufort yang merupakan Lead Hospital bagi kluster hospital kawasan Pantai Barat Sabah (Selatan & Pedalaman) yang menerima rujukan pesakit daripada daerah Sipitang dan Kuala Penyu serta daerah Lawas, Sarawak.
Permulaan perkhidmatan kepakaran Pembedahan Am secara residen ini membolehkan perkhidmatan rawatan kepakaran yang lebih menyeluruh baik dari segi diagnostik mahupun terapeutik disediakan di Hospital Beaufort dengan menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit dalam (kepakaran pembedahan), sesi Klinik Pakar Pembedahan Am & sesi pembedahan elektif yang lebih kerap, serta sebagai asas untuk memulakan pelbagai bidang sub kepakaran pembedahan lain seperti Colorectal surgery, Breast & Endocrine surgery dan sebagainya, di samping perkhidmatan pembedahan kecemasan sedia ada yang ditawarkan di Hospital Beaufort.
Permulaan perkhidmatan kepakaran Pembedahan Am di Hospital Beaufort ini membolehkan rawatan pembedahan yang lebih rumit atau kompleks dapat dilaksanakan dan usaha ini juga selari dengan usaha program Global Surgery Initiative yang bertujuan untuk mengoptimakan tahap kebolehcapaian kepada perkhidmatan rawatan pembedahan yang berkualiti dan selamat.

Pelbagai jenis pembedahan telah berjaya dilaksanakan oleh Pakar Bedah Am, Mr Dr.Dexter Lai Zen Ran yang baru melapor diri di Hospital Beaufort sejak 1hb Februari 2023 dengan bantuan teknikal daripada pasukan endoscopy & surgical Hospital Queen Elizabeth.
Penempatan Pakar Bedah Am tersebut juga memberi peluang kepada pasukan pembedahan yang terdiri daripada Pegawai Perubatan dan staf sokongan teknikal Jururawat Terlatih dan Penolong Pegawai Perubatan yang berminat khususnya dalam bidang Pembedahan Am atau bidang sub kepakaran pembedahan berkaitan untuk menerima latihan secara berterusan.
Langkah permulaan ini adalah perintis dan Hospital Beaufort bertekad untuk terus memperbaiki & memperluaskan lagi perkhidmatan kepakaran lain yang berkualiti kepada penduduk di Sabah terutamanya di daerah Beaufort, Kuala Penyu, dan Sipitang serta Lawas, Sarawak khususnya dengan penyediaan fasiliti hospital & peralatan perubatan yang lebih holistic dengan Projek Pembangunan Naiktaraf Hospital Beaufort (Fasa 1) yang sedang dilaksanakan.
Tahniah diucapkan sekali lagi kepada pasukan Hospital Beaufort dan kepada Ketua Perkhidmatan Kepakaran Pembedahan Am Sabah di Hospital Queen Elizabeth atas komitmen beliau dalam menjayakan permulaan perkhidmatan kepakaran Pembedahan Am secara in house di Hospital Beaufort.
Sumber: Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
