Laman Web Rasmi Hospital Beaufort
Hospital Beaufort, Peti Surat 40, 89807 Beaufort Sabah pengarah.beaufort@moh.gov.my 087-212333 / 087-212334
                  
Malaysia Madani
Sabah Maju Jaya
  



Program Carnival Cataract KKM (K4M) Hospital Beaufort Julai 2023

 Berita HBFT   09 Jul 2023
Image
Tahniah dan syabas kepada Hospital Beaufort atas kejayaan dalam pelancaran inisiatif program Carnival Cataract KKM (K4M) yang berlangsung dari 7hb Julai – 8hb Julai 2023 di Dewan Bedah Hospital Beaufort.

Sebanyak 48 kes katarak telah berjaya dilaksanakan di bawah program pembedahan elektif katarak selama dua hari berturut-turut ini dengan penglibatan 3 orang Pakar Perubatan Oftalmologi, 3 orang Pegawai Perubatan Oftalmologi, 2 orang Penolong Pegawai Perubatan dan 2 orang Jururawat Terlatih serta staf sokongan teknikal daripada Hospital Beaufort dengan kerjasama Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita Dan Kanak-kanak Sabah, dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katarak adalah suatu keadaan di mana kanta mata yang sepatutnya jernih telah menjadi keruh (boleh diakibatkan oleh pelbagai faktor) dan ianya seringkali diumpamakan seperti tingkap yang sebahagianya diselaputi kotoran dan menyebabkan gangguan penglihatan. Rawatan bagi katarak adalah pembedahan katarak dengan mengganti kanta mata. Tiada ubat-ubatan, ubat titis mata, atau cermin mata yang boleh mengubati katarak.

Program pembedahan elektif katarak secara besar-besaran di Hospital Beaufort ini adalah mensasarkan kepada golongan pesakit B40 yang kurang berkemampuan dari segi kewangan & logistik khususnya pesakit daripada daerah Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang. Segala keperluan kos tambahan bagi rawatan pembedahan katarak tersebut turut ditanggung & dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Hospital Beaufort dan sesi program pembedahan elektif katarak secara besar-besaran ini akan dikendalikan sekali lagi pada bulan November yang akan datang di Hospital Beaufort selepas persiapan bagi pesakit-pesakit yang terlibat telah dioptimakan.

Semoga dengan kejayaan inisiatif program ini di Hospital Beaufort yang kini dalam proses naik taraf sebagai Hospital Berpakar, penduduk di daerah Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang boleh memperolehi manfaat rawatan dengan lebih segera tanpa perlu menunggu rawatan dan dirujuk ke Kota Kinabalu.

Sumber: Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sabah