
Pada 9 Oktober 2026, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Dr. William Gotulis dan Pengurusan Tertinggi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Pesakit Luar, Hospital Beaufort dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Beaufort.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan perkhidmatan kesihatan, kelancaran operasi harian serta penyampaian perkhidmatan kepada pesakit dan masyarakat setempat di kedua-dua fasiliti berkenaan.
Melalui lawatan ini, YBhg. Datuk Dr. William berpeluang melihat dengan lebih dekat perjalanan operasi perkhidmatan kesihatan, termasuk pengurusan pesakit, penyelarasan tugasan anggota kesihatan serta aspek penyampaian perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan. Lawatan ini juga menjadi ruang untuk mendapatkan gambaran mengenai situasi semasa di lapangan, di samping mengenal pasti aspek yang boleh terus diperkukuh bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan.
Komitmen berterusan dalam pemantauan dan penambahbaikan perkhidmatan amat penting bagi memastikan setiap fasiliti kesihatan sentiasa berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti, selamat, cekap dan berorientasikan pelanggan.
Hospital Beaufort merakamkan penghargaan atas kesudian YBhg. Datuk Dr. William Gotulis dan Pengurusan Tertinggi JKNS mengadakan lawatan kerja ini.
Semoga lawatan seumpama ini terus memperkukuh kerjasama, menyokong usaha penambahbaikan berterusan serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan masyarakat.


