
BEAUFORT, 10 Oktober 2026 – Hospital Beaufort mencatat satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh perkhidmatan penjagaan kanser payudara di Sabah menerusi pelancaran rasmi Kabin Pink Ribbon Centre (PRC), sebuah ruang khusus bagi menyediakan perkhidmatan navigasi, bimbingan, maklumat dan sokongan kepada pesakit kanser payudara sepanjang perjalanan rawatan mereka.
Penubuhan Kabin Pink Ribbon Centre ini merupakan satu pencapaian bermakna kerana ia adalah pusat PRC pertama yang diwujudkan melalui pembiayaan luar yang diperoleh khusus bagi menyediakan ruang fizikal untuk perkhidmatan navigasi pesakit.
Kejayaan ini hasil kerjasama dan komitmen pihak pengurusan Hospital Beaufort, termasuk Pengarah Hospital, Dr. Sutharsan Kannan, dan Pakar Bedah, Mr. (Dr.) Theiyallen Ambikapathi, bersama Monnalisa Edward, Community Navigator daripada NORA (Navigation, Outreach and Resource Access).
Melalui usaha mendapatkan sokongan daripada pihak berkepentingan tempatan, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Hajjah Siti Aminah binti Aching telah berbesar hati membiayai penyediaan kabin ini khusus untuk pelaksanaan aktiviti navigasi dan sokongan pesakit kanser payudara.
Lebih daripada sekadar sebuah ruang fizikal, Kabin Pink Ribbon Centre berperanan sebagai pusat sokongan mesra pesakit yang membantu mereka mendapatkan maklumat, panduan dan penyelarasan yang diperlukan sepanjang proses pemeriksaan, rujukan serta rawatan kanser payudara.
Perkhidmatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit Hospital Beaufort, malah turut diperluas kepada pesakit dari Hospital Kuala Penyu dan Hospital Sipitang melalui pendekatan kluster hospital. Kerjasama dengan fasiliti penjagaan kesihatan primer setempat juga akan diperkukuh bagi memastikan pesakit mendapat sokongan yang lebih menyeluruh dan berkesinambungan.
Pesakit yang mempunyai penemuan pemeriksaan payudara yang tidak normal akan dibantu untuk mendapatkan pemeriksaan diagnostik susulan dengan segera. Bagi pesakit yang memerlukan rawatan pembedahan, kemoterapi atau radioterapi, penyelarasan rujukan dan laluan rawatan akan dilaksanakan melalui PRC Beaufort dengan kerjasama pasukan navigator di PRC Hospital Queen Elizabeth II sebagai hab negeri (State Hub) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas sebagai hab onkologi (Oncology Hub).
Pendekatan bersepadu ini membolehkan pesakit dan keluarga membuat persediaan lebih awal sebelum mendapatkan rawatan di luar Beaufort, termasuk perancangan perjalanan, penginapan dan keperluan praktikal yang lain. Penyelarasan tersebut diharap dapat membantu mengurangkan beban pesakit serta memastikan perjalanan rawatan menjadi lebih teratur dan lancar.
Pelancaran Kabin Pink Ribbon Centre Hospital Beaufort membuktikan bahawa kerjasama antara pihak hospital, penggerak komuniti dan pemimpin tempatan mampu membawa perubahan positif dalam meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan pesakit kanser payudara, khususnya di kawasan Beaufort dan daerah sekitarnya, mendapat bimbingan serta sokongan yang sewajarnya agar mereka tidak perlu menghadapi perjalanan rawatan kanser secara bersendirian.



