Unit luka & stoma
PENGENALAN
Menurut Pekeliling Kementerian Kesihatan (Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bilangan 10 tahun 2011) ia menekankan penubuhan Unit Penjagaan Luka di hospital-hospital Kementerian Kesihatan di Malaysia.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenal pasti rawatan penjagaan luka dan stoma sebagai salah satu perkhidmatan penting yang dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan pesakit dan juga mengelakkan pesakit daripada mendapat jangkitan silang dari hospital.
Fokus utama untuk rawatan luka dan stoma di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah adalah untuk memberikan rawatan berdasarkan bukti saintifik terbaik dan terkini untuk luka kronik yang lazimnya memakan masa yang lama untuk sembuh.
Unit Penjagaan Luka dan Stoma Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah mula broperasi dengan dua orang kakitangan (seorang Ketua Penolong Pegawai Perubatan dan seorang Matron) pada Mac 2015. Seterusnya, pada Julai 2016 seorang Pegawai Perubatan telah dilantik untuk mengetuai perkhidmatan penjagaan luka dan stoma. Terkini, unit ini dianggotai oleh seorang Pegawai Perubatan, seorang Ketua Jururawat, dua orang Penolong Pegarai Perubatan dan dua orang Jururawat. Barangan dan fasiliti unit ini pada masa kini adalah jauh lebih lengkap dan menyeluruh berbanding dahulu.
Dijangkakan penjagaan luka dan stoma pada masa hadapan akan lebih mencabar. Justeru itu, lebih ramai kakitangan terlatih akan diperlukan pada masa hadapan.